Tun Tengku Maimun Tuan Mat

KUALA LUMPUR – Jemaah Menteri hari ini membincangkan isu kekosongan jawatan Ketua Hakim Negara dan Presiden Mahkamah Rayuan berikutan persaraan wajib Tun Tengku Maimun Tuan Mat dan Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim, minggu lalu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, Kabinet mengambil maklum sepenuhnya akan perhatian dan kebimbangan orang ramai mengenai kekosongan kedua-dua jawatan tertinggi badan kehakiman.

Tun Tengku Maimun dan Abang Iskandar bersara wajib apabila mencapai usia persaraan hakim 66 tahun masing-masing pada 2 dan 3 Julai lalu. Tempoh perkhidmatan mereka tidak dilanjutkan selama enam bulan.

Sehubungan itu, Azalina memaklumkan bahawa Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-269 dijadual bersidang pada 15 hingga 17 Julai ini.

“Kerajaan amat memahami keprihatinan rakyat tentang pentingnya memelihara kelangsungan dan integriti institusi kehakiman sebagai tunjang kedaulatan undang-undang,” ujar beliau dalam kenyataan hari ini.

Azalina Othman Said.

Menurut Azalina, kerajaan juga menegaskan bahawa pengisian kekosongan jawatan Ketua Hakim Negara dan Presiden Mahkamah Rayuan akan dilaksanakan dengan mematuhi sepenuhnya Perkara 122B Perlembagaan Persekutuan.

Ujarnya, Perkara 122B memperuntukkan bahawa pelantikan dibuat oleh Yang di-Pertuan Agong atas nasihat Perdana Menteri selepas berunding dengan Majlis Raja-Raja.

“Perkara ini selaras dengan Perlembagaan Persekutuan yang merupakan undang-undang tertinggi negara yang wajib dipatuhi oleh semua pihak. Ini juga mencerminkan prinsip Raja Berperlembagaan yang menjadi tunjang pentadbiran negara,” ujarnya dalam kenyataan hari ini.

Ujar beliau, Jemaah Menteri turut memberi jaminan bahawa pengisian kekosongan jawatan akan dijalankan dengan mematuhi sepenuhnya Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang yang berkaitan.

Katanya, Hakim Besar Malaya Tan Sri Hasnah Mohammed Hashim kini menjalankan kuasa atau melaksanakan tugas jawatan Ketua Hakim Negara (termasuk fungsinya di bawah Perlembagaan Persekutuan) sehingga jawatan tersebut diisi.

Ujar beliau, ini selaras dengan Perkara 131A Perlembagaan Persekutuan dan perenggan 9(1)(b) serta subseksyen 9(3) Akta Mahkamah Kehakiman 1964 [Akta 91].

“Ia bagi memastikan kelangsungan pentadbiran keadilan negara. Kerajaan MADANI kekal komited untuk terus memperkukuh keyakinan awam terhadap institusi kehakiman.

“Ini termasuk meneliti langkah-langkah penambahbaikan jangka panjang ke rah meningkatkan ketelusan dan kebebasan badan kehakiman.

“Kerajaan juga ingin menyeru agar semua pihak memberi ruang agar proses yang telah ditetapkan oleh Perlembagaan Persekutuan dapat berjalan dengan lancar dan sewajarnya demi kepentingan negara, kedaulatan undang-undang dan kestabilan institusi,” ujarnya. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast