JOHOR BAHRU – Tindakan Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Johor, Alias Rasman yang didakwa memanipulasi titah Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail adalah satu bentuk pengkhianatan dan jauh menyimpang daripada mesej asal yang baginda maksudkan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mahkota, Syed Hussien Syed Abdullah berkata, tindakan tersebut juga dilihat mengelirukan masyarakat.
“Ini juga cubaan menjejaskan keyakinan rakyat terhadap kerajaan negeri di bawah kepimpinan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi.
“Perlu difahami dengan jelas bahawa titah Tuanku lahir daripada keprihatinan dan kasih sayang baginda terhadap Bangsa Johor.
“Baginda menzahirkan kerisauan terhadap beberapa isu rakyat, suatu perkara yang sentiasa diambil serius oleh kerajaan negeri.
“Tidak sepatutnya mana-mana pihak cuba memutar belit titah ini menjadi senjata politik murahan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Kata Syed Hussein,, kerajaan negeri sentiasa mendengar, memahami dan melaksanakan tindakan serta bukan hanya bercakap.
Beliau berkata, pencapaian cemerlang yang diraih Johor hari ini adalah hasil kerja keras, muafakat dan kepimpinan yang berpandangan jauh.
“Saya mengecam sekeras-kerasnya cubaan menjadikan titah Pemangku Sultan Johor sebagai modal politik murahan untuk meraih simpati rakyat. Bangsa Johor tidak perlukan ahli politik yang hanya pandai beretorik, sebaliknya pemimpin yang benar-benar bekerja untuk rakyat.
“Titah Tuanku adalah amanat. Amanat itu tanggungjawab kita semua untuk menjunjungnya, bukan diperguna demi kepentingan politik peribadi,” ujarnya.
Semalam Tunku Mahkota Ismail dilaporkan bertitah dan menyentuh berkenaan bekalan air, gaji minimum serta perkembangan terkini Hospital Pasir Gudang.
Baginda bertitah Johor mensasarkan beberapa pembinaan infrastruktur air mentah yang mampu menampung keperluan air di seluruh negeri.
Bagi gaji minimum pula, Tunku Mahkota Ismail menasihatkan pelabur atau syarikat terlibat bersedia menawarkan gaji minima RM4,000 bagi graduan lepasan universiti di kawasan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ).
Sementara Hospital Pasir Gudang pula, baginda mahu supaya segera menempatkan petugas kesihatan sebelum hospital itu beroperasi pada Ogos ini.
Hari ini, Alias menyifatkan titah tersebut sebagai satu teguran kepada kerajaan yang semakin selesa di tampuk kuasa dan gagal mengurus kebajikan rakyat.
Alias mendakwa, titah itu juga merupakan cerminan suara hati rakyat Johor yang telah lama menanggung kelemahan urus tadbir negeri serta kegagalan menyuarakan kepentingan Johor di peringkat Persekutuan.- MalaysiaGazete















