KUALA LUMPUR – Desakan sembilan Ahli Parlimen PKR bagi penubuhan sebuah Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat kemelut pelantikan kehakiman adalah selari dengan kebimbangan Perikatan Nasional (PN) dan masyarakat tentang kebebasan badan itu.
Ia kerana Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri sedang berhadapan dengan kes saman sivil di mahkamah berkaitan salah laku peribadi beliau.
Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, sebagai Perdana Menteri, Anwar mempunyai kuasa di bawah Perlembagaan Persekutuan untuk menasihati Yang di-Pertuan Agong dalam pelantikan hakim-hakim termasuk Ketua Hakim Negara.
Bagaimanapun, Anwar juga sedang memohon imuniti di mahkamah untuk mendapatkan kekebalan bagi dirinya daripada sebarang tindakan saman.
“Hal ini tidak pernah terjadi sebelum ini yang melibatkan seorang Perdana Menteri.
“Konflik kepentingan Perdana Menteri dalam pelantikan hakim-hakim adalah jelas,” dakwanya menerusi hantaran Facebook, hari ini.
Menurut Muhyiddin, Jabatan Peguam Negara (AGC) telah mengeluarkan kenyataan menolak kemungkinan penubuhan sebuah Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat kemelut pelantikan kehakiman dan campurtangan dalam keputusan mahkamah yang melibatkan Perdana Menteri.
Tambah beliau, AGC juga menolak peranan Jawatankuasa Pilihan Parlimen sebagai badan yang wajar terlibat dalam proses pelantikan hakim-hakim.
Katanya, kenyataan itu mewakili pendirian rasmi kerajaaan dan ia adalah penolakan secara mentah-mentah terhadap desakan 9 Ahli Parlimen penyokong kerajaan sendiri dari PKR yang menuntut kedua-dua perkara ini dilakukan bagi menjamin kebebasan badan kehakiman.
Muhyiddin memberitahu, beliau tidak yakin Anwar akan membenarkan sebuah RCI ditubuhkan bagi menyiasat dirinya sendiri.
“Penubuhan RCI memerlukan keputusan Kabinet yang dipengerusikan oleh beliau sendiri,” ujarnya.
Berikutan itu, Muhyiddin mendakwa, Malaysia sedang menyaksikan institusi-institusi utama negara dirosakkan oleh Perdana Menteri demi kepentingan peribadinya.
Katanya, isu kebebasan badan kehakiman telah menunjukkan perkembangan yang baik di bawah pentadbiran kerajaan sebelum ini namun ia telah merosot di bawah pentadbiran Kerajaan Madani.
Tambah beliau, kenyataan oleh sekumpulan peguam terkemuka baru-baru ini mengesahkan bahawa kebebasan badan kehakiman lebih terjamin di bawah beberapa kerajaan terdahulu termasuk PN dan mereka berasa amat curiga dengan tahap kebebasan badan kehakiman di bawah kerajaan sekarang.
Menurut Muhyiddin, semasa menjadi Perdana Menteri beliau juga menasihati Yang di-Pertuan Agong dalam pelantikan hakim-hakim selari dengan kehendak perlembagaan dan ketika itu tidak pernah timbul keraguan dalam urusan pelantikan hakim-hakim.
“Ini kerana saya tidak pernah mencampuri urusan mahkamah walaupun didesak oleh pelbagai pihak. Saya menghormati kebebasan badan kehakiman untuk menegakkan keadilan.
“Isunya ialah siapa yang menjawat jawatan Perdana Menteri.
Selagi mana orang yang menjadi Perdana Menteri mempunyai masalah peribadi yang membabitkan badan kehakiman, selagi itulah badan kehakiman tidak bebas,” katanya.
Muhyiddin mendakwa Ahli-Ahli Parlimen penyokong kerajaan kini mula sedar bahawa pemimpin mereka berada di jalan yang salah dan mereka tidak lagi percaya kepada Perdana Menteri.
Katanya, janji reformasi institusi tinggal janji yang tidak akan dilaksanakan, malah institusi negara sedang dirobek dan kebebasan rakyat disekat semata-mata untuk memastikan Perdana Menteri kekal berkuasa.
“Saya percaya pelaksanaan dasar-dasar ekonomi yang membebankan seperti peluasan cukai SST, kenaikan tarif elektrik dan penghapusan pelbagai bentuk subsidi akan menyebabkan Perdana Menteri semakin tidak popular dan hilang sokongan rakyat,” katanya.
Muhyiddin berkata, apabila Perdana Menteri tidak lagi mendapat sokongan rakyat, satu-satunya cara untuk berkuasa ialah dengan mencengkam institusi negara dan menyekat kebebasan rakyat dan antara institusi yang dicengkam ialah badan kehakiman. – MalaysiaGazette















