KUALA LUMPUR – Indeks harga besi menunjukkan sedikit penurunan pada Jun 2025, iaitu antara -1.0 peratus sehingga -3.1 peratus berbanding bulan lepas.
Penurunan tertinggi indeks harga bahan ini dicatatkan di Pahang (-3.1%), diikuti dengan Sibu (-2.5%) dan Pulau Pinang, Kedah & Perlis (-2.1%).
Bagaimanapun, peningkatan kecil direkodkan di beberapa kawasan seperti Selangor, Kuala Lumpur, Melaka dan Negeri Sembilan (0.4%), manakala Miri merekodkan kenaikan 0.3 peratus.
Indeks harga seunit keratan keluli dan logam menunjukkan penurunan kecil pada Jun 2025, dengan kadar perubahan bulan ke bulan dicatatkan antara negatif 0.2 peratus hingga negatif 0.7 peratus.
Penurunan ini mencerminkan penyusutan harga yang sederhana dalam pasaran bahan logam dan keluli.
Selain daripada itu, indeks harga simen turut mencatatkan peningkatan marginal pada Jun 2025, iaitu antara 0.1 peratus hingga 0.2 peratus berbanding bulan sebelumnya.
Peningkatan ini melibatkan semua kawasan di Semenanjung Malaysia serta di negeri Sabah dan Sarawak, menunjukkan trend kenaikan yang agak konsisten merentasi kawasan.
Perbandingan tahunan untuk tempoh Jun 2024 dan Jun 2025 menunjukkan bahawa indeks harga seunit simen merekodkan peningkatan antara 0.3 peratus hingga 3.7 peratus bagi kebanyakan kawasan di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak.
Peningkatan tertinggi bagi indeks ini dicatatkan di Johor (3.7%), diikuti dengan Tawau (3.6%) dan Pulau Pinang, Kedah & Perlis (2.5%).
Selain daripada itu, perbandingan tahun ke tahun bagi indeks harga seunit besi mencatatkan penurunan antara negatif 5.1 peratus hingga negatif 15.5 peratus pada Jun 2025 berbanding bulan yang sama tahun lalu, melibatkan kebanyakan kawasan di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak.
Purata harga bagi simen Ordinary Portland juga telah mencatatkan peningkatan kecil (0.2%) dengan purata harga RM23.80 per 50 kg sekarung berbanding Mei 2025 (RM23.75 per 50 kg sekarung).
Purata harga seunit besi yang terdiri daripada bar bulat keluli lembut dan Mycon 60 high tensile deformed bars merekodkan peningkatan kecil (0.1%) dengan purata harga RM3,480.10 bagi setiap tan metrik berbanding bulan sebelumnya (Mei 2025: RM3,476.75 per tan metrik). – MalaysiaGazette
















