TINDAKAN Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) menamatkan khidmat jawatankuasa pengurusan 87 masjid di Negeri Selangor adalah disokong demi memastikan institusi rumah ibadat itu kekal terpelihara dan diuruskan secara profesional. Exco Agama Islam & Pembudayaan Inovasi, Dr. Mohammad Fahmi Bin Ngah melaporkan keseluruhan 87 pengurusan masjid yang diambil tindakan telah terlibat dengan pelbagai jenis kesalahan, namun persamaan kesalahan yang dilakukan membawa kepada tema pengurusan masjid yang tidak profesional.
Kesalahan-kesalahan yang dikenalpasti oleh JAIS termasuklah jawatan kuasa pengurusan bukah ahli kariah (bukan orang tempatan), kebenaran penceramah tidak bertauliah memberi kuliah dan pengurusan yang tidak mengikut modul dan undang-undang yang dibangunkan oleh kerajaan Negeri Selangor. Pengurusan kesemua 446 masjid di seluruh Selangor adalah tertakluk di bawah pemantauan JAIS, kuasa yang diberikan kepada JAIS ini adalah melalui Rang Undang-Undang Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor). Justera, menjadi satu kesalahan bagi mana-mana jawatan kuasa pengurusan masjid di Negeri Selangor melakukan aktiviti atau keputusan yang bertentangan dengan garis panduan dan undang-undang yang telah ditetapkan oleh JAIS.
Tujuan peraturan pengurusan masjid diwujudkan menurut Bayan Linnas adalah bagi memastikan matlamat asal pembinaan masjid iaitu sebagai tempat khusus untuk menjalankan ibadah, terutama solat berjemaah terus terpelihara. Pengurusan masjid yang tidak dipantau oleh pemerintah sangat terdedah kepada isu penyalahgunaan kuasa dan penyelewengan dana. Perkara ini telah dibangkitkan oleh Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang tidak berkenan khutbah, pengajaran agama dan tazkirah yang diadakan di masjid atau surau di negeri tersebut diselitkan dengan ideologi parti politik, tuduh-menuduh dan caci-mencaci sesama umat Islam.
JAIS telah mewujudkan sistem tauliah bagi memastikan penceramah tidak memberi kuliah yang bertentangan dengan saranan Sultan Selangor. Malah pengurusan masjid yang tidak diuruskan secara profesional sangat terdedah kepada penyelewengan dana memandangkan setiap masjid di Negeri Selangor menerima dana daripada kerajaan negeri untuk operasi dan aktiviti masyarakat.
Kajian yang dilakukan oleh Universiti Kebangsaan Malaysia juga melaporkan terdapat masjid di Negeri Selangor yang mampu mengutip derma awam melebihi RM2 juta dalam tempoh setahun. Dana yang lumayan ini diwajibkan untuk diaudit dan laporan kewangannya dipantau oleh JAIS setiap tahun.
Kebimbangan yang dibangkitkan terhadap pengurusan masjid dapat dikawal apabila jawatankuasa pengurusan masjid menjalankan tugas mereka secara profesional. JAIS diberikan amanah untuk memantau pengurusan yang dilaksanakan oleh jawatankuasa pengurusan masjid agar mencapai tahap profesional yang ditetapkan. JAIS tidak gopoh untuk menguatkuasakan undang-undang yang telah diperuntukkan kepada mereka, peluang dan nasihat akan diberikan terlebih dahulu sebelum khidmat jawatankuasa pengurusan masjid yang bermasalah ditamatkan. Tindakan tegas akhirnya terpaksa dilakukan sekiranya jawatankuasa pengurusan masjid tetap berdegil dan enggan mengikut peraturan yang telah ditetapkan.
Seharusnya tindakan yang dilaksanakan oleh JAIS ini disokong oleh semua rakyat Negeri Selangor. Tindakan tegas yang dilakukan oleh JAIS ini hanya melibatkan sebahagian kecil daripada 446 masjid di seluruh Selangor, majoriti jawatan kuasa pengurusan masjid yang patuh kepada peraturan yang ditetapkan oleh kerajaan negeri tidak terjejas. Bayan Linnas telah menetapkan supaya pengurusan masjid dilakukan dengan sepenuh hati dan profesional. Pengurusan secara profesional memerlukan peraturan dan pemantauan, justeru apa yang dilakukan oleh JAIS ini sememangnya selari dengan kehendak syarak dan memenuhi keperluan semasa.
Dr. Mohd. Fauzi Fadzil
Pensyarah Kanan
Universiti Poly-Tech Malaysia















