BAITULMAQDIS – Israel bersedia untuk berunding bagi memeterai perjanjian kekal dengan Hamas agar perang di Gaza boleh ditamatkan sebaik sahaja gencatan senjata sementara bermula, kata Perdana Menteri Benjamin Netanyahu pada Khamis.
Namun, beliau menegaskan, Hamas mesti terlebih dahulu meletakkan senjata dan menyerahkan kawalan mereka ke atas Gaza.
Beliau turut memberi amaran bahawa kegagalan mencapai perjanjian mengikut terma Israel akan membawa kepada konflik berterusan.
Kenyataan itu dibuat ketika agensi pertahanan awam Gaza memaklumkan, lapan kanak-kanak maut ketika beratur mendapatkan makanan tambahan di luar sebuah klinik kesihatan, akibat serangan Israel pada Khamis.
Baki 58 korban lagi adalah orang dewasa.
Agensi kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) berkata salah seorang mangsa adalah bayi lelaki berusia satu tahun yang menurut ibunya, baru sahaja mengucapkan perkataan pertamanya beberapa jam sebelumnya.
Usaha untuk mencapai gencatan senjata selama 60 hari dalam perang yang telah berlarutan selama 21 bulan menjadi agenda utama dalam perbincangan Netanyahu dengan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, di Washington.
Rundingan tidak langsung sedang berlangsung antara kedua-dua pihak di Qatar, dan kumpulan pejuang itu telah bersetuju untuk membebaskan 10 daripada 20 tebusan yang masih hidup sejak serangan 7 Oktober 2023 yang mencetuskan perang tersebut.
Antara isu yang menjadi pertikaian adalah tuntutan Hamas agar bantuan kemanusiaan dibenarkan masuk tanpa halangan ke Gaza dan supaya tentera Israel berundur dari wilayah itu. Hamas juga mahukan “jaminan sebenar” untuk keamanan jangka panjang.
Menteri Luar Israel, Gideon Saar, berkata “kemajuan telah dicapai” tetapi mengakui dalam temu bual dengan akhbar Austria Die Presse bahawa menyelesaikan “semua isu kompleks” mungkin memerlukan “beberapa hari lagi”.
Tiada persetujuan dicapai mengenai jumlah tahanan Palestin yang akan dibebaskan sebagai pertukaran untuk tebusan, katanya.
Beliau berkata bahawa “pada awalnya, lapan tebusan akan dibebaskan, diikuti dua lagi pada hari ke-50” dalam tempoh gencatan senjata 60 hari itu. “Selain itu, 18 mayat tebusan juga akan diserahkan,” katanya seperti dilaporkan.
Saar berkata satu gencatan senjata kekal akan dibincangkan tetapi menambah: “Masih terdapat perbezaan besar, khususnya berkaitan persoalan bagaimana Hamas dapat dihalang daripada kembali menguasai Gaza selepas perang.”
Beliau berkata Israel bersedia memberikan laluan selamat kepada pemimpin Hamas untuk keluar dalam buangan.
– ‘Syarat asas’ –
Netanyahu, yang sedang berdepan tekanan dalaman untuk menamatkan perang ketika angka korban tentera semakin meningkat, berkata pelucutan senjata dan penghapusan Hamas adalah “syarat asas” bagi Israel.
“Jika perkara ini boleh dicapai melalui rundingan, itu sangat baik,” katanya. “Jika tidak dapat dicapai dalam tempoh 60 hari, kita akan terpaksa mencapainya melalui cara lain, dengan menggunakan… kekuatan tentera kita yang berani.”
Pegawai kanan Hamas, Bassem Naim, memberitahu AFP bahawa kumpulannya tidak akan menerima “pengekalan penjajahan ke atas tanah kami” atau rakyat Palestin dikurung dalam “enklaf terasing” dalam wilayah yang sangat padat itu.
Kumpulan itu amat menentang kawalan Israel ke atas Rafah, di sempadan dengan Mesir, dan Koridor Morag yang menghubungkan bandar selatan itu dengan Khan Yunis, tambahnya.
Israel telah mengumumkan tahun ini bahawa tenteranya sedang merampas kawasan luas di Gaza untuk dijadikan zon penampan yang telah dikosongkan penduduknya.
Naim berkata kumpulannya juga mahu menamatkan penghantaran bantuan oleh kumpulan yang disokong AS dan Israel — sistem yang telah menyebabkan puluhan orang terbunuh ketika cuba mendapatkan makanan.
– Darah dan jeritan –
Agensi pertahanan awam wilayah Palestin itu berkata lapan kanak-kanak adalah antara 17 orang yang terbunuh dalam satu serangan Israel di luar sebuah klinik perubatan di Deir el-Balah, Gaza tengah.
“Tanah bergegar di bawah kaki kami dan segalanya bertukar menjadi darah dan jeritan yang memekakkan telinga,” kata Yousef Al-Aydi, yang sedang beratur untuk mendapatkan makanan tambahan apabila dia mendengar bunyi dron menghampiri dan letupan berlaku.
Rabih Torbay, ketua badan amal perubatan AS Project Hope yang mengendalikan kemudahan itu, menyifatkannya sebagai “pelanggaran terang-terangan terhadap undang-undang kemanusiaan.”
Tentera Israel berkata mereka telah menyerang seorang militan Hamas di bandar itu yang telah menceroboh masuk ke Israel semasa serangan 2023, dan mereka “kesal atas sebarang kemudaratan terhadap individu yang tidak terlibat.”
Secara keseluruhan, kementerian kesihatan di Gaza yang dikendalikan Hamas berkata sekurang-kurangnya 57,762 rakyat Palestin, kebanyakannya orang awam, telah terbunuh sejak konflik bermula.
Serangan Hamas pada Oktober 2023 telah mengakibatkan 1,219 orang maut, kebanyakannya orang awam, menurut kiraan AFP berdasarkan angka Israel.
Sebanyak 251 tebusan telah diculik dalam serangan tersebut. 49 masih ditahan di Gaza, termasuk 27 yang menurut tentera Israel telah mati. -AFP
IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast















