TANGKAK – Seorang ahli perniagaan berputih mata selepas wang simpanannya bernilai RM84,000 lesap akibat terjerat penipuan pelaburan mata wang digital yang tidak wujud.
Ketua Polis Daerah Tangkak, Superintendan Roslan Mohd Talib berkata, mangsa iaitu seorang wanita tempatan berumur 52 tahun membuat laporan polis semalam berhubung kejadian itu mendakwa ditipu.
“Semuanya bermula apabila mangsa berkenalan dengan suspek melalui aplikasi TikTok pada Februari 2025 sebelum diperkenalkan dengan pelaburan kripto.
“Suspek membuat tawaran keuntungan yang berlipat kali ganda dalam masa yang singkat sebelum mangsa berminat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, tertarik dengan pelaburan tersebut mangsa melakukan 17 transaksi secara berperingkat berjumlah RM84,000 semuanya ke dalam lima akaun berbeza 29 Mei sehingga 7 Julai 2025.
Roslan berkata, kes disiasat bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan, jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 10 tahun dan boleh disebat dan didenda.
Pihak polis menasihatkan orang ramai agar sentiasa berwaspada dan tidak mudah terpedaya dengan tawaran pelaburan secara atas talian yang menjanjikan keuntungan lumayan dalam tempoh singkat.
“Orang ramai diseru agar membuat semakan terlebih dahulu sebelum membuat pelaburan sebagai langkah berhati-hati bagi mengelakkan dari menjadi mangsa penipuan atau scam,” katanya .
Tambahnya, orang ramai juga dinasihatkan agar sentiasa mendapatkan maklumat terkini berkaitan scam melalui laman sosial jabatan siasatan jenayah komersil seperti Facebook, Instagram dan Tik Tok.
Sekiranya menjadi mangsa scam, boleh menghubungi National Scam Response Centre (NSRC) di talian 997 sebagai tindakan awal untuk menyekat pengaliran keluar wang dari akaun suspek, katanya.- MalaysiaGazette















