KUALA LUMPUR – Naib Presiden Pas, Datuk Idris Ahmad mengingatkan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang mana penduduk Kelantan juga membayar cukai kepada kerajaan sama seperti penduduk di negeri lain.
Katanya, cukai itu termasuk cukai jalan, pendapatan, perniagaan, Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) selain perlu membayar kepada Kerajaan Pusat untuk mendapatkan pasport antarabangsa.
Malah penduduk Kelantan turut membayar saman Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang hasilnya diterima Kerajaan Pusat.
“Negeri cuma pegang cukai tanah, air, hutan dan sikit-sikit cukai PBT (pihak berkuasa tempatan). Tapi bila dengar nada macam nak pinggirkan Kelantan, memang mengundang marah.
“Rakyat Kelantan ini bukan jenis suka mengamuk tapi pantang dihina. Silap-silap penyokong UMNO sendiri pun rasa terguris,” katanya menerusi laman sosial Facebook beliau malam ini.
Idris mengulas mengenai kenyataan Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri yang menyebut Kelantan akan lebih tercorot lagi daripada segi pembangunan sekiranya tiada peruntukan daripada Persekutuan.
Kenyataan Ahmad Zahid ketika merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Tanah Merah hari ini bagi menyanggah dakwaan pimpinan Pas yang mengatakan pembangunan di Kelantan disekat dan dipinggirkan sejak sekian lama.
Menurut Ahmad Zahid, apa yang didakwa itu adalah mustahil kerana setiap kali Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim turun ke Kelantan, pasti akan ada pengumuman peruntukan dibuat.
Sementara itu, Idris turut mengingatkan Ahmad Zahid yang mana kini bukan zaman untuk bermain politik kuno dan retorik lapuk.
Katanya, rakyat tidak boleh dibeli dengan janji dan digula-gulakan dengan projek segera kerana mereka sudah lama celik bukan baru keluar dari gua.
“Mungkin dia tersasullah tu. Sebab sejak akhir-akhir ini selalu sangat tersasul dan terkhilaf. Sebelum ini sebut Hidup Israel. Baru ini pula terkhilaf kata malaikat pun lari malam.
“Dulu pun dia sebut dalam Persidangan Umno 2021, No Anwar, No DAP, No Bersatu. Lepas PRU-15, jadi rakan sebantal dengan DAP,” katanya.
Tambah beliau, Kelantan merupakan negeri berdaulat di negara ini bukan negeri jajahan oleh-oleh mana parti,.
Justeru adalah lebih baik untuk Ahmad Zahid menjaga tutur kata sebelum rakyat mengajar semula makna hormat dalam bahasa undi.
“Mungkin Zahid perlu diberi peta Malaysia edisi terkini supaya boleh beza antara Kelantan dan Kalimantan. Atau mungkin perlu kelas tambahan tentang Perlembagaan Persekutuan.
“Entahlah… kadang-kadang kita pun tak pasti, yang bercakap tu TPM Malaysia ke TPM Kalimantan. Kelantan ini negeri dalam Malaysia, bukan negeri asing,” sindirnya. – MalaysiaGazette
















