MERSING – Seorang wanita maut manakala seorang lagi cedera selepas motosikal dinaiki terbabas ke dalam longkang selepas gagal memotong sebuah kereta di Jalan Ismail di sini malam tadi.
Ketua Polis Daerah Mersing, Superintenden Abdul Razak Abdullah Sani berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kemalangan tersebut pukul 12.05 tengah malam melibatkan dua wanita menaiki motosikal dan sebuah kereta.
“Siasatan mendapati kereta dan motosikal itu dari arah yang sama. Motosikal tersebut kemudian cuba memotong kereta yang hendak membelok ke simpang kanan tetapi gagal dan telah melanggar bahagian hadapan kereta sebelum terbabas.
“Penunggang wanita warga tempatan berumur 24 tahun cedera parah di kepala dan meninggal dunia di lokasi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Katanya, rakannya yang berumur 23 tahun pula cedera di paha kiri dan masih dirawat di Hospital Mersing sementara pemandu kereta tersebut yang berusia 51 tahun tidak mengalami kecederaan.
Beliau memberitahu, kes disiasat bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
Sementara itu, Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Mersing, Penguasa Bomba Kanan 1 Mohd Samsuri Shafai berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kemalangan tersebut pada pukul 12.20 tengah malam.
Katanya, lapan anggota dibantu dua jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan satu Unit Perkhidmatan Penyelamatan Perawatan Kecemasan (EMRS) dikejarkan ke lokasi sejauh satu kilometer.
“Sebaik tiba di lokasi pukul 12.22 tengah malam, didapati sebuah motosikal jenis Honda RSX terbabas ke dalam longkang.
“Seorang daripadanya disahkan meninggal dunia di lokasi dan mayat kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut. Operasi tamat pukul 12.44 tengah malam,” ujarnya.- MalaysiaGazette
















