KOTA TINGGI – UMNO tidak boleh lagi berada dalam keadaan bermimpi dan berangan sekiranya mahu menang pilihan raya umum dan negeri.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, parti tidak boleh leka sebaliknya memastikan menang pilihan raya yang dijangka pada 2027.
Beliau mahu semua pihak perlu memikirkan untuk menembah kerusi selain mengekalkan kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang sudah dimenangi.
Pengerusi UMNO Kedah itu berkata, banyak cabaran perlu didepani parti antaranya berita-berita fitnah yang boleh mempengaruhi pengundi.
“Ada tiga berita iaitu pertama cerita benar, kedua cerita separuh benar dan ketiga berita fitnah. Kita harus belajar daripada apa yang berlaku sebelum ini.
“Contohnya (fitnah terhadap) (Datuk Seri) Najib Razak semasa menjadi Perdana Menteri. Satu negara percaya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Pengerang di Lotus Desaru Beach Resort, di sini hari ini.
Turut hadir Ketua Penerangan UMNO Malaysia merangkap Ketua UMNO Bahagian Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said.
Mahdzir berkata, ahli parti dan pengundi perlu mencari kebenaran dan bukan sahaja Najib tetapi Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi juga difitnah.
Katanya, Ahmad Zahid digambarkan sebagai seorang yang tidak baik dan membawa kepada kerosakan serta kemusnahan.
Sementara itu, beliau berkata, Pakatan Harapan (PH) perlu faham perasaan pihak dalam Barisan Nasional (BN) dalam isu tertentu.
“Kita faham dia tapi jangan selalu tak faham perasaan kita,” katanya lagi- MalaysiaGazette
















