KOTA TINGGI – Ahli UMNO ketika ini masih lemah dan belum benar-benar teguh menghadapi isu-isu yang dibangkitkan dalam media sosial.
Ketua Penerangan UMNO Malaysia, Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, banyak isu-isu yang dimainkan tidak dijawab atau tidak dijawab secara jelas bagi menangkis tohmahan.
“Kami di Penerangan UMNO Malaysia terpaksa kembali kepada kempen asas iaitu ‘like, komen dan share’. Ramai ahli kita sendiri tidak buat perkara asas ini di media sosial.
“Malah banyak isu yang dibangkitkan tidak dijawab secara aktif. Sebab itu kita kena balik kepada asas propaganda. Ceramah kita teruskan tetapi yang paling penting sekarang ialah media sosial yang jauh lebih pantas dan membentuk kepercayaan pengundi,” katanya.
Ketua UMNO Bahagian Pengerang itu berkata demikian ketika berucap daam Mesyuarat Agung UMNO Bahagian Pengerang di Lotus Desaru Beach Resort, di sini hari ini.
Turut hadir Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid.
Dalam perkembangan lain, beliau berkata, kehadiran lebih 12,000 pengundi luar yang dijangka pulang mengundi pada pilihan raya akan datang menjadi cabaran utama UMNO Bahagian Pengerang dalam usaha mengekalkan kemenangan di kawasan itu.
Menurutnya, walaupun UMNO berada dalam keadaan selamat ketika ini, usaha memastikan kemenangan berterusan perlu diperkukuhkan terutama berdepan situasi pengundi luar.
“Kemenangan kita hari ini memang meletakkan kita dalam keadaan selamat. Tapi cabaran sebenar ialah apabila lebih 12,000 pengundi luar akan balik mengundi di Pengerang.
“Ini bukan sesuatu yang mudah, tambahan pula kita juga mahu pastikan kemenangan ini dapat diteruskan ke negeri-negeri lain, termasuk Sabah tahun ini dan negeri-negeri seterusnya tahun depan,” katanya.
Sementara itu, Azalina yang juga Ahli Parlimen Pengerang menegaskan bahawa parti itu bukan sekadar parti sejarah yang telah berusia 79 tahun, tetapi merupakan sebuah parti solusi yang sentiasa tampil menyelesaikan masalah rakyat.
Kejayaan pembangunan yang dicapai di kawasan Pengerang uajrnya, menjadi bukti sahih kejayaan datang dari UMNO dan Barisan Nasional.
“Kita lihat bagaimana Pengerang berubah dengan adanya projek-projek besar seperti Pembangunan Bersepadu Penapisan Minyak dan Petrokimia (RAPID) dan projek simpanan minyak Dialog.
“Kita juga bakal mempunyai Emergency and Trauma Center bernilai RM30 juta, bagi memastikan penduduk tidak perlu menunggu lama untuk mendapatkan rawatan, terutama jika berlaku kemalangan kerana jarak hospital di Kota Tinggi 45 kilometer.
“Kehadiran hotel bertaraf antarabangsa juga membuktikan bahawa Pengerang kini dilihat sebagai destinasi pelaburan dan pelancongan yang penting,” katanya.
Azalina turut menzahirkan harapan agar Pengerang dapat diiktiraf sebagai daerah pada masa hadapan, mengambil kira kepesatan pembangunan dan pertambahan penduduk.
“Jumlah penduduk dan pembangunan di sini memungkinkan Pengerang layak diangkat menjadi sebuah daerah, namun kita faham perkara ini tertakluk kepada pertimbangan kerajaan negeri,” katanya.- MalaysiaGazette
















