Tiga utas jam tangan yang dicuri selepas memecah masuk sebuah bengkel sekolah di Nusa Bestari, Iskandar Puteri

ISKANDAR PUERI – Polis menahan seorang pengawal keselamatan selepas memecah masuk sebuah bengkel sekolah di Nusa Bestari di sini Selasa lalu.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner M Kumarasan berkata, kejadian tersebut dilaporkan seorang guru wanita berusia 44 tahun pukul 6 petang Rabu.

“Guru berkenaan melaporkan pada 8.30 malam Selasa selepas mendapati sebuah bengkel dalam sekolah tersebut telah dipecah masuk.

“Jam tangan miliknya didapati hilang. Bertindak atas maklumat sepasukan anggota dari Balai Polis Nusa Bestari bersama-sama Bahagian Siasatan Jenayah membuat tangkapan.

“Seorang lelaki tempatan berusia 42 tahun yang berkerja sebagai pengawal keselamatan di sekolah itu ditahan di Skudai pukul 8.50 malam kelmarin,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, hasil semakan mendapati suspem mempunyai dua rekod jenayah lampau dan hasil saringan air kencing mendapatinya negatif dadah.

Menerusi tangkapan itu katanya, pihak polis merampas tiga utas jam tangan bernilai RM300.

“Suspek sedang ditahan reman selama lima hari bermula semalam hingga 16 Julai ini untuk membantu siasatan. Kes disiasat bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan.

“Jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara hingga 14 tahun dan bagi kesalahan kali kedua boleh dikenakan denda dan sebat,” katanya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast