SEBAHAGIAN penuntut USM yang menerima bantuan bersasar bagi meringankan beban kos susulan perluasan SST. - Foto: IHSAN USM

KUALA LUMPUR – Universiti Sains Malaysia (USM) telah mengenal pasti beberapa langkah segera dan proaktif bagi menangani kesan kenaikan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) terhadap kos sara hidup pelajar, khususnya dalam kalangan pelajar B40.

Antara langkah segera yang dilaksanakan termasuk memperluaskan penyediaan menu rahmah di semua kafeteria desasiswa bagi memastikan pelajar dapat menikmati hidangan berkualiti pada harga yang lebih berpatutan.

Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM), Prof. Datuk Seri Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed berkata, inisiatif itu diyakini mampu memberi kelegaan kepada pelajar, terutama yang kurang berkemampuan.

Tambah beliau, satu Jawatankuasa ‘Task Force’ yang dipengerusikan oleh Pemangku Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni (HEPA), Profesor Dr. Azlan Amran juga telah ditubuhkan bagi mengenal pasti inisiatif jangka pendek dan panjang bagi membantu pelajar yang terkesan dengan peningkatan kos sara hidup itu.

ANTARA bantuan yang akan disalurkan kepada penuntut USM bagi meringankan beban kos susulan perluasan SST. – Foto: IHSAN USM

“Bagi pelajar yang memerlukan bantuan kecemasan, mereka boleh menghubungi Unit Kebajikan dan OKU, BHEPA.

“Selain itu, Zawain USM turut menyalurkan sumbangan kepada pelajar yang memerlukan menerusi peruntukan khas yang disediakan.

“Bantuan secara bersasar kepada pelajar daripada kategori B40 akan diteruskan dan diperkasakan bagi memastikan mereka tidak terkesan secara langsung dengan kenaikan kos semasa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Abdul Rahman menambah, dalam masa sama perkhidmatan Food Bank USM terus ditambah baik dan diperluas dengan menyediakan makanan asas lain yang menjadi barang keperluan harian bagi membantu pelajar yang mengalami kekangan kewangan.

Selain itu, katanya, USM juga giat mendapatkan sokongan dan sumbangan daripada pihak luar khususnya syarikat korporat bagi meringankan beban yang ditanggung pelajar.

Antaranya, tambah beliau, Syarikat Yusuf Taiyoob Sdn. Bhd. yang bersetuju menyumbangkan nasi lemak setiap hari kepada pelajar bagi memastikan mereka ke kuliah dalam keadaan tidak kelaparan.

“Dalam pada itu, Bahagian Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni dengan kerjasama Majlis Perwakilan Pelajar (MPP), turut menjalankan kajian bagi mengenal pasti perkhidmatan dan barangan keperluan yang memberi kesan langsung kepada pelajar.

“Ia termasuk harga makanan, perkhidmatan cetakan dan fotostat, tambang e-hailing serta perbelanjaan harian yang lain.

“Hasil tinjauan ini akan membantu pihak universiti merangka langkah-langkah yang lebih bersesuaian dan merangka semula pelan tindakan jangka panjang yang menyeluruh,” katanya.

ANTARA bantuan yang akan disalurkan kepada penuntut USM bagi meringankan beban kos susulan perluasan SST. – Foto: IHSAN USM

Sementara itu, beliau menambah, USM juga telah mengingatkan pengusaha kafeteria supaya tidak menaikkan harga jualan memandangkan mereka masih terikat dengan syarat kontrak asal sebelum pelaksanaan SST.

Katanya, fokus turut diberikan kepada pelajar luar kampus (PETAS), agar mereka turut menerima manfaat daripada inisiatif yang dilaksanakan.

“Dalam jangka panjang, pihak universiti sedang menilai semula kadar sewa premis perniagaan di kampus agar tidak membebankan peniaga, sekali gus mengelakkan kenaikan harga makanan yang dijual di kafeteria,” katanya.

Menurut Abdul Rahman, segala usaha itu mencerminkan komitmen berterusan USM dalam memastikan kebajikan pelajar sentiasa diberi keutamaan, khususnya dalam menghadapi cabaran ekonomi semasa. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast