Gambar hiasan

BATU CAVES – Sebanyak 10 buah bas diesel baharu Rapid Bus mula beroperasi secara rasmi hari ini sebagai kumpulan pertama daripada 310 unit yang akan diterima secara berperingkat bermula penghujung Julai ini hingga suku pertama 2026.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, ia adalah sebagai sebahagian daripada inisiatif berterusan untuk menaik taraf sistem pengangkutan awam negara.

“Kesemua 310 buah bas yang dibeli oleh Rapid Bus dilengkapi teknologi Euro 5 iaitu satu piawaian antarabangsa terkini dalam kawalan pencemaran.

“Ia dapat merendahkan pelepasan karbon sebanyak 0.4 peratus dan berupaya mengurangkan pelepasan gas nitrogen oksida (NOx) yang menjejaskan kualiti udara, sekaligus menyumbang kepada persekitaran bandar yang lebih sihat dan lestari,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Majlis Pelancaran Bas Diesel Baharu Rapid Bus di Kompleks Rapid Bus Batu Caves hari ini.

Menurut Anthony, pelancaran itu menandakan kumpulan terakhir bas yang dibeli melalui fasa pembelian terdahulu.

Mulai tahun depan, semua pembelian bas akan dilakukan melalui tender terbuka dengan syarat pemasangan mesti dibuat di dalam negara.

“Kita telah buat keputusan bahawa bas-bas ini adalah kumpulan terakhir di bawah fasa pembelian. Selepas ini, kita akan mulakan perolehan baharu melalui tender terbuka yang syarat utamanya ialah bas-bas ini mesti dipasang dalam negara walaupun teknologinya dari luar.

“Ini bagi memastikan berlaku pemindahan teknologi dan memberi manfaat kepada industri pemasangan serta syarikat-syarikat tempatan,” tambahnya.

Daripada 310 buah bas yang dibeli, 200 unit daripadanya merupakan minibus bersaiz sembilan meter manakala 120 unit yang lain mempunyai kepanjang sebanyak 12 meter.

Bas 12 meter yang mula digunakan hari ini boleh memuatkan sehingga 60 penumpang, sesuai untuk menampung permintaan tinggi di kawasan tumpuan seperti Lembah Klang dan Pulau Pinang.

Sebanyak 70 buah bas juga akan dihantar ke Rapid Penang dalam tempoh terdekat.

Dalam pada itu, Anthony turut menjelaskan bas-bas yang telah mencapai usia operasi 15 tahun akan dilupuskan sepenuhnya, mengikut peraturan hayat maksimum perkhidmatan bas sedia ada.

Beliau menegaskan bahawa pelaksanaan perkhidmatan van on-demand (DRT) yang sedang diperluaskan menerusi perolehan 300 buah van bukanlah untuk menggantikan bas Rapid KL.

“Saya ingin tegaskan, DRT ini tidak akan menggantikan perkhidmatan bas. Ia adalah pelengkap kepada sistem pengangkutan awam negara.

“Bas kekal penting untuk laluan jarak jauh manakala van DRT digunakan di kawasan perumahan untuk membawa penumpang ke hab pengangkutan seperti stesen LRT atau terminal bas,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast