KUALA LUMPUR – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi menempelak Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang enggan bekerjasama dengan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) kononnya kerana parti itu mengkhianati Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
Sedangkan, dakwa Mohd Puad, Bersatu `lagi kuat’ mengkhianati rakan kongsi, dan disebabkan itu tidak ada parti yang mahu berkawan dengan Bersatu di Sabah.
Beliau turut memberikan contoh pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah pada 2021 yang mana UMNO dikatakan menjadi mangsa Bersatu.
“Mereka sokong calon parti Bebas seperti apa yang berlaku di DUN Kemabong. Bukan itu sahaja Muhyiddin sendiri mengkhianati Tun M melalui langkah Sheraton.
“Maka siapa yang mahu berkawan dengan Bersatu, kecuali Pas. Semua pemimpin utama dalam Bersatu ada DNA pengkhianat,” katanya menerusi laman sosial Facebook hari ini.
Semalam, Muhyiddin yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) menegaskan akan menolak untuk bekerjasama dengan GRS yang didakwa mengkhianati parti itu selepas keluar daripada PN dan membentuk kerajaan negeri.
Katanya, ketika GRS masih bersama PN, beliau menamakan gabungan itu supaya lebih dikenali, namun Pengerusi GRS, Datuk Seri Hajiji Noor mendaftarkan GRS sebagai sebuah parti politik dan keluar daripada PN. – MalaysiaGazette
















