Sebahagian individu peguam dan ahli pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang menyertai Perarakan Demi Mempertahankan Kebebasan Kehakiman dari perkarangan Istana Kehakiman, Putrajaya ke Pejabat Perdana Menteri. Foto MUHAIMIN MARWAN, 14 JULAI 2025. (Gambar fail).

PUTRAJAYA – Timbalan Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar yang menyertai perarakan anjuran Majlis Peguam hari ini menuntut kebebasan badan kehakiman dipertahankan susulan pendedahan dakwaan campur tangan dalam pelantikan hakim.

Berbaju kurung ungu, Nurul Izzah bersama suami menyertai ribuan peguam yang berarak sejauh 2.5 kilometer dari Istana Kehakiman ke Pejabat Perdana Menteri bagi menyerahkan memorandum mengandungi enam tuntutan utama berkaitan integriti sistem kehakiman negara.

Apa yang mencuri perhatian, Nurul Izzah sempat bergambar dengan seorang peserta memegang plakad bertulis ‘Keadilan untuk kehakiman dan pertahankan kebebasan kehakiman’ menzahirkan sokongan terhadap tuntutan reformasi institusi kehakiman.

Dalam kenyataan berasingan, beliau menyifatkan kebocoran laporan polis oleh pegawai kepada seorang hakim kanan serta minit mesyuarat Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC) sebagai amat membimbangkan dan memberi kesan terhadap keyakinan rakyat.

“Dakwaan ini mesti disiasat secara telus demi memulihkan kepercayaan rakyat terhadap institusi kehakiman,” katanya sambil mencadangkan penubuhan tribunal bebas yang dianggotai lima hakim kanan untuk menyiasat dakwaan tersebut.

Kes berkaitan bermula pada 12 Jun apabila seorang hakim kanan mengarahkan pegawainya membuat laporan polis selepas dihubungi portal berita berkenaan dakwaan wujud campur tangan dalam mesyuarat JAC.

Laporan itu kemudiannya bocor dua minggu kemudian, diikuti kebocoran minit mesyuarat JAC yang tular di media sosial Sabtu lalu.

Menurut Nurul Izzah, sistem kehakiman memerlukan bukan sahaja kepakaran tetapi juga integriti moral tertinggi dalam melantik mana-mana individu ke jawatan Ketua Hakim Negara, Presiden Mahkamah Rayuan, Hakim Besar Malaya dan Hakim Besar Sabah dan Sarawak.

“Keutuhan kehakiman menuntut tiada unsur campur tangan, baik dari dalam mahupun luar. Struktur kehakiman yang lebih telus dan bertanggungjawab adalah selari dengan semangat reformasi yang diperjuangkan PKR,” tambah beliau.

Sebelum ini, sembilan Ahli Parlimen PKR termasuk bekas timbalan presidennya, Datuk Seri Rafizi Ramli menjadi antara yang awal menyuarakan kebimbangan terhadap isu ini namun kenyataan mereka mencetuskan polemik dalaman parti sehingga ada gesaan supaya mereka digantung keahlian. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast