KUALA LUMPUR – Desas-desus mengatakan semua ketua UMNO bahagian akan mengadakan pertemuan untuk mendesak Perdana Menteri melaksanakan titah adendum melibatkan Datuk Seri Najib Razak berhubung tahanan di rumah sebenarnya berasas.
Menurut seorang pemimpin UMNO yang akrab dengan bekas perdana menteri itu berkata, perkara itu merupakan arahan daripada Badan Perhubungan UMNO setiap negeri yang mewajibkan setiap ketua bahagian menunjukkan komitmen mereka.
“Memang ada pertemuan secara bersemuka itu melibatkan ketua-ketua UMNOBahagian seluruh negara di sebuah hotel yang pernah menjadi kontorversi dekat Bukit Bintang, pada Khamis ini.
“Ia merupakan arahan daripada UMNO negeri kepada setiap ketua bahagian agar berkumpul dan mendesak Datuk Seri Anwar Ibrahim melaksanakan titah adendum itu dengan kadar segera.
“Arahan itu telah dikongsikan dalam grup WhatsApp pemimpin UMNO pada Ahad lalu,” katanya kepada MalaysiaGazette, hari ini.
Terdahulu media melaporkan seorang ahli Majlis Kerja Tertinggi mendedahkan, semua ketua UMNO bahagian seluruh negara dijangka berkumpul di ibu negara pada Khamis ini bagi mendesak kerajaan melaksanakan Titah Adendum.
Laporan portal dalam talian itu mendedahkan, perjumpaan itu akan diadakan di sebuah hotel di Bukit Bintang, sekitar jam 8 malam, Khamis ini.
Perjumpaan itu susulan tindakan Jabatan Peguam Negara (AGC) tidak mempertikaikan kewujudan titah adendum dikatakan titah Yang di-Pertuan Agong ke-16 yang membolehkan Najib menjalani baki hukuman penjara di bawah tahanan rumah.
Sebaliknya AGC mempertikaikan prosedur untuk mengemukakan titah itu sebagai bukti baharu dalam permohonan semakan kehakiman Najib di Mahkamah Tinggi.
Menurut sumber, idea pertemuan itu timbul selepas Ahli Parlimen Kepong, Lim Lim Eng mengeluarkan kenyataan, antara lain menolak keras cadangan agar Najib dibenarkan menjalani baki hukuman penjara secara tahanan rumah dan menyifatkannya sebagai tidak wajar.
“Cadangan perjumpaan itu tercetus selepas keluarnya kenyataan Ahli Parlimen DAP itu yang mempersoalkan kewajaran titah adendum diberi kepada Najib untuk menjalani baki hukuman di bawah tahanan rumah,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
















