KUALA LUMPUR – Kertas siasatan berhubung kes penyanyi terkenal, Shila Amzah ‘diserang’ penyanyi legenda ketika sesi latihan konsert baru-baru ini akan dirujuk kepada Pejabat Pendakwaan Negeri (PPN) Kuala Lumpur hari ini.
Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohamed Usuf Jan Mohamad yang mengesahkan perkara itu berkata, ketika ini pihaknya sedang melengkapkan kertas siasatan itu dan menunggu arahan selanjutnya.
“Kita akan menyerahkan kertas siasatan itu kepda PPN Kuala Lumpur bagi tujuan kajian dan arahan lanjut (pendakwaan).
“Bagaimanpun sehingga ini hanya empat individu telah dirakam keterangan termasuk pengadu bagi membantu siasatan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Sebelum ini, Shila atau nama penuhnya, Nurshahila Amir Amzah mendakwa dirinya diserang secara terbuka oleh seorang artis legenda semasa sesi latihan konsert baru-baru ini.
Wanita itu telah membuat laporan polis pada 10 Julai lalu kira-kira pukul 5.31 petang di Balai Polis Dang Wangi dan kertas siasatan telah dibuka di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan.
Hasil siasata awal polis mendapati, rasa tidak puas hati kerana mencampuri masalah keluarga menjadi punca Shila diserang penyanyi terbabit. – MalaysiaGazette
















