Sebahagian daripada warga asing yang disekat masuk ke negara ini menerusi KLIA.

KUALA LUMPUR – Cubaan 141 pelawat asing untuk memasuki Malaysia secara haram dengan menyalahgunakan kemudahan transit berjaya dipatahkan oleh Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (AKPS KLIA) di Terminal 2, di sini, dalam satu operasi pemantauan khas.

Operasi dari 12 hingga 14 Julai itu mengenakan Notis Penolakan Masuk (NPM) terhadap 94 warganegara India, 41 warganegara Indonesia, tiga dari Sri Lanka dan tiga dari Pakistan.

Siasatan mendapati mereka menggunakan pelbagai taktik licik untuk mengelirukan pihak berkuasa dengan modus operandi utama mereka menempah tiket penerbangan sambungan ke negara ketiga untuk memberi gambaran mereka adalah penumpang transit tulen.

Namun, mereka tidak berniat untuk meneruskan perjalanan tersebut, kata AKPS dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, sebahagian daripada mereka juga cuba keluar dari balai pelepasan transit dengan memberi pelbagai alasan seperti masalah kesihatan, kehilangan tiket, atau isu bagasi.

Ada juga yang dikesan memohon Pas Khastetapi kemudiannya menyalahgunakannya untuk tinggal lebih masa di dalam negara.

AKPS berkata, kejayaan operasi ini adalah hasil pemeriksaan rapi oleh pegawai penguat kuasa yang meneliti dokumen perjalanan, menyemak sejarah perjalanan lampau, dan menjalankan temu bual mendalam terhadap pelawat yang menunjukkan tingkah laku mencurigakan dan tidak konsisten.

Kesemua yang dikenal pasti kini dalam proses untuk dihantar pulang menggunakan penerbangan terawal yang tersedia.

Susulan insiden ini, AKPS telah memperketatkan kawalan di semua zon transit antarabangsa dan mengoptimumkan penggunaan sistem kamera litar tertutup (CCTV) bagi membanteras sebarang cubaan bolos pada masa hadapan.

AKPS menegaskan Malaysia sentiasa mengalu-alukan kedatangan pelawat antarabangsa yang sah, namun tidak akan berkompromi terhadap sebarang cubaan mengeksploitasi sistem kawalan sempadan negara. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast