JOHOR BAHRU – Satu task force bagi mengukuh pengurusan, menambah baik infrastruktur dan fasiliti hospital-hospital utama di negeri akan ditubuhkan bertujuan meningkatkan kualiti perkhidmatan kesihatan.
Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, langkah tersebut adalah sebagai mekanisme penyelarasan dan pemantauan pelaksanaan pelan tindakan jangka pendek, sederhana serta panjang.
Perkara tersebut dipersetujui dalam pertemuan beliau dan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad di Putrajaya petang tadi bagi membincangkan krisis kekurangan tenaga kerja kesihatan yang dilaporkan serius dan kritikal di negeri itu.
“Pertemuan ini memberi fokus kepada usaha memperkukuh pengoperasian tiga hospital utama negeri iaitu Hospital Sultanah Aminah (HSA), Hospital Sultan Ismail (HSI) dan Hospital Kulai.
“Bagi penyelesaian jangka pendek, semua pihak bersetuju keperluan segera untuk mengisi kekosongan jawatan kritikal, menaik taraf infrastruktur serta memperbaiki fasiliti di hospital-hospital sedia ada.
“Hasil perbincangan turut mencapai persetujuan agar Hospital Pasir Gudang (HPG) dan Klinik Kesihatan (KK) Cendana perlu diperkukuh dan ditambahkan tenaga kerja serta peralatan sebelum dijangka mula beroperasi awal tahun hadapan,” katanya dalam hantaran menerusi Facebook miliknya hari ini.
Onn Hafiz berkata, susulan perbincangan tersebut task force berkenaan ditubuhkan bagi memastikan segala perancangan berjalan lancar.
Katanya, kerajaan negeri dan KKM kualiti serta menjaga kebajikan barisan hadapan yang menjadi tunjang sistem kesihatan.
Menerusi hantaran dalam Facebook beliau semalam, Onn Hafiz membuat lawatan mengejut ke HSI iaitu hospital pakar kedua terbesar di negeri itu dan mendedahkan realiti semasa yang membimbangkan membabitkan beban tugas luar biasa ditanggung petugas barisan hadapan kesihatan.
Antara isu utama yang dikenal pasti termasuk kekurangan petugas dalam pelbagai kategori kritikal seperti doktor pakar, pegawai perubatan, penolong pegawai perubatan, jururawat dan anggota sokongan lain.- MalaysiaGazette
















