MELAKA – Seorang lelaki maut selepas basikal yang dipercayai ditunggang secara melulu dirempuh sebuah motosikal di persimpangan lampu isyarat Jalan Pantai Belimbing, Krubong, di sini malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 7 malam itu, mangsa, Mohd Zohari Md Kassim, 43, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh petugas perubatan akibat cedera parah di kepala.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, kejadian berlaku ketika mangsa dan motosikal ditunggang lelaki berusia 28 tahun dalam perjalanan dari arah Krubong Perdana menghala ke One Krubong.
“Sebaik tiba di lampu isyarat simpang empat, penunggang basikal dipercayai mengubah haluan dari kanan ke kiri secara mengejut menyebabkan motosikal yang sedang bergerak lurus di lorong kiri cuba brek dan mengelak namun gagal.
“Lelaki itu merempuh bahagian belakang basikal menyebabkan pembantu kedai makan berkenaan meninggal dunia di lokasi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambahnya, penunggang motosikal yang turut cedera dibawa ke Hospital Melaka menaiki ambulans untuk rawatan lanjut,
Mayat dibawa ke Jabatan Perubatan Forensik Hospital Melaka untuk proses bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – MalaysiaGazette
















