KENYATAAN akhbar Pemuda Pas Pusat berkenaan pencalonan Nick Adams sebagai Duta Besar AS ke Malaysia.

KUALA LUMPUR – Dewan Pemuda Pas Pusat menggesa kerajaan menyatakan segera pendirian Malaysia terhadap pencalonan Nick Adams sebagai Duta Besar Amerika Syarikat (AS) ke negara ini.

Pengarah Komunikasi Strategiknya, Nazrul Nazir berkata, sehingga kini, kerajaan masih belum membuat pendirian rasmi berhubung pencalonan itu di sebalik bantahan dan teguran banyak pihak berhubung pencalonan Adams berkenaan.

Sedangkan, ujar beliau, Artikel 4(1) Konvensyen Vienna Mengenai Hubungan Diplomatik 1961 (VCDR) menyatakan bahawa negara pengirim (AS) mesti terlebih dahulu mendapatkan agrement (persetujuan rasmi) daripada negara penerima (Malaysia) sebelum melantik duta mereka ke sini.

Selain itu, katanya, undang-undang negara juga menetapkan semua pelantikan duta asing mesti mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong atas nasihat Perdana Menteri (Jemaah Menteri).

Jelas beliau, sekiranya duta berkenaan tidak mendapat pekenan Seri Paduka Baginda, maka beliau tidak boleh dilantik kerana tiada persetujuan rasmi dari negara penerima.

“Sekiranya Malaysia ingin menolak perlantikan Nick Adams sebagai Duta Besar AS ke Malaysia, ia boleh dilakukan dan Malaysia tidak terhalang dari segi undang-undang.

“Malah, Artikel 4(2) VCDR memperuntukkan bahawa negara penerima tidak wajib memberikan alasan jika menolak calon yang dicadangkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, Nazrul berkata, tindakan sesebuah negara menolak pencalonan duta bukan perkara baharu, sebaliknya pernah dilakukan Kerajaan Venenzuela yang pernah menolak pencalonan Larry Palmer sebagai Duta AS ke negara itu pada 2010.

Malah, ujar beliau, AS juga pernah menolak persetujuan rasmi bagi calon duta Iran ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Hamid Aboutalebi serta menghalang beliau dari memasuki negara berkenaan pada 2014.

“Prinsip undang-undang antarabangsa, setiap negara adalah berdaulat sepenuhnya, dan berhak menentukan siapa yang boleh hadir dan mewakili kuasa asing dalam wilayahnya.

“Oleh itu, Malaysia wajar menyatakan pendiriannya dan menolak terus kemasukan individu ini (Adams) dari Malaysia, yang secara jelas mempunyai prinsip dan moral yang bertentangan dengan dasar dan pegangan negara kita,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast