ISKANDAR PUTERI – Polis menahan seorang pemuda yang mencuri komponen motosikal di Terminal Bas Gelang Patah, di sini, kelmarin selepas video kejadian tersebut tular dalam media sosial.
Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner M Kumarasan berkata, suspek iaitu seorang lelaki tempatan berusia 27 tahun ditahan di kawasan Gelang Patah pukul 11.45 malam tadi.
“Semakan mendapati suspek tidak mempunyai rekod lampau. Ujian saringan air kencing mendapati suspek negatif dadah,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Katanya, menerusi tangkapan itu pihaknya merampas barang-barang seperti dua pasang rim motosikal dan dua laras spanar.
Menurutnya, suspek kini ditahan bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah (KPJ) selama empat hari bermula hari ini hingga 19 Julai ini untuk siasatan lanjut.
Beliau memberitahu, kes disiasat bawah Seksyen 379A(1) Kanun Keseksaan iaitu mencuri sebuah kenderaanatau mana-mana bahagian komponen kenderaan.
Jelasnya, jika sabit kesalahan boleh dihukim penjara satu hingga tujuh tahun dan juga denda.- MalaysiaGazette
















