JOHOR BAHRU – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Johor menggempur beberapa lokasi panas dan menahan 35 pekerja warga asing sekitar bandar raya ini kelmarin.
Operasi itu yang melibatkan 24 pegawai dari Bahagian Penguatkuasa JIM Johor dilaksanakan hasil risikan setelah menerima aduan awam mengenai warga asing yang bekerja tanpa permit atau pas sah di premis-premis terbabit.
Pengarah JIM Johor, Datuk Mohd Rusdi Mohd Darus berkata, menerusi Ops Minyak, Ops Kutip, Ops Selera, Ops Belanja serta Ops Jaja seramai 56 individu diperiksa.
Selain 21 warga tempatan, 35 warga asing melibatkan lapan lelaki warga Indonesia, lapan (Myanmar), enam (Bangladesh), tiga (Pakistan), dua (Thailand), satu (India), satu (Afghanistan) dan enam perempuan warga Indonesia turut diperiksa.
“Semua mereka yang berusia antara 18 hingga 55 tahun dipercayai melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana masuk dan tinggal di Malaysia tanpa pas atau permit yang sah,” katanya dalam kenyataan.
Mohd Rusdi berkata, terdapat juga yang disiasat mengikut Seksyen 15(1)(c) akta sama kerana tinggal di negara ini selepas pas atau permit tamat tempoh.
Ia termasuk melanggar syarat Pas Lawatan Sosial dan Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963, katanya.
“Mereka yang ditahan ditempatkan di Depot Imigresen Setia Tropika di sini untuk siasatan dan tindakan lanjut,” tambahnya.- MalaysiaGazette
















