Ahmad Fadhli Shaari

KUALA LUMPUR – Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari mengakui serbuan pesta gay oleh polis Kelantan sememangnya memalukan memandangkan berlaku di negeri yang sinonim dengan gelaran Serambi Mekah.

Namun, ujar Ahli Parlimen Pasir Mas berkenaan, apa yang lebih penting daripada rasa malu itu adalah keberanian untuk membasmi kemungkaran.

Malah beliau turut membuat persamaan seperti ubat meskipun pahit tetapi selagi penyakit masih bersarang, seseorang itu wajib memaksa diri untuk menelannya.

“Ia memalukan kerana berlaku di Kelantan. Jika berlaku di Kuala Lumpur seperti serbuan di Blue Boy Club pada Ogos 2018 atau parti Halloween LGBT pada Oktober 2022 di Johor Bahru seperti pesta seks sejenis pada Februari 2023 bahkan di Pulau Pinang seperti pesta seks di sebuah unit kondominium pada Jun 2022 di mana polis menemui kondom, pelincir dan dadah jenis ketamin – tentu ia tidak memalukan. Bahkan itu dianggap biasa.

“Tetapi apabila ia berlaku di Kelantan maka ia dikata mengaibkan.

“Namun begitu yang lebih utama ialah tindakan berani membanterasnya, bukan menutup mata demi menjaga persepsi,” katanya menerusi laman sosial Facebook hari ini.

Sementara itu, Ahmad Fadhli yang juga wakil rakyat Pas turut merakamkan tahniah atas tindakan tegas polis Kelantan menyerbu pesta gay tersebut yang disifatkan mencemarkan maruah negeri tersebut.

Katanya, usaha itu wajar dipuji dan diteruskan hingga budaya songsang lenyap dari bumi Kelantan sekali gus berharap polis terus konsisten membanteras budaya tesebut hingga ke akar umbi.

Dalam masa sama, tambahnya, Kerajaan Negeri Kelantan juga wajar diberikan lebih ruang untuk merangka undang-undang lebih tegas bagi menyekat gejala ini tanpa sebarang sekatan.

“Untuk rekod, Mahkamah Persekutuan misalnya pada 25 Februari 2021 telah membatalkan peruntukan Enakmen Syariah Kelantan berkaitan larangan lelaki berpakaian seperti perempuan atas alasan bertindih dengan undang-undang Persekutuan.

“Justeru, Kelantan perlu mengkaji apakah lagi ruang yang boleh diterokai untuk mewujudkan undang-undang lebih keras namun selari dengan Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

Media hari ini melaporkan polis Kelantan menyerbu satu perjumpaan gay yang melibatkan lebih 100 lelaki berusia antara 20 hingga 30-an di sebuah banglo di Kemumin, Kota Bharu pada pertengahan Jun lalu.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, serbuan dilakukan pada jam 1 pagi hasil maklumat awam dan intipan yang dilakukan oleh pasukan khas. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast