Pasukan Gerakan Am (PGA) berjaya mematahkan cubaan menyeludup minyak sawit mentah dalam Operasi ‘Op Taring Palma’ dengan kerjasama Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) Wilayah Utara dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Taiping. Foto Ihsan PGA

TAIPING – Pasukan Gerakan Am (PGA) berjaya mematahkan cubaan menyeludup minyak sawit mentah dengan nilai rampasan keseluruhan bernilai hampir RM1 juta di sini semalam.

Operasi ‘Op Taring Palma’ sekitar 3 petang sehingga 6 petang itu dilaksanakan dengan kerjasama Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) Wilayah Utara dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Taiping.

Komander Briged Utara PGA, Senior Asisten Komisioner (SAC) Shahrum Hashim berkata, sebelum itu pasukan operasi telah mengesan lori membawa muatan yang mencurigakan dan disyaki melakukan aktiviti penyelewengan minyak sawit mentah di daerah ini.

Katanya, lori berkenaan kemudiannya diekori sebelum didapati berhenti dan melakukan proses pemindahan bahan mentah itu dari dua lori tangki ke sebuah lori lori ‘bonded’ atau bertutup.

“Hasil pemeriksaan mendapati terdapat 10 tong biru berkapasiti 200 liter setiap satu yang berada di dalam lori bonded berkenaan.

“Selain itu terdapat terdapat beberapa peralatan yang digunakan bagi memindahkan minyak sawit mentah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Shahrum, susulan daripada itu pihaknya menahan tiga lelaki tempatan dan merampas minyak sawit mentah anggaran berat 75,400 kilogram (kg), tiga lori, pelbagai peralatan pemindahan minyak sawit serta tiga unit telefon bimbit dengan nilai rampasan RM 975,200.

Kata beliau, Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Taiping turut mengeluarkan dua saman terhadap suspek atas kesalahan trafik dibawah Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Kesemua tangkapan dan rampasan diserahkan kepada MPOB Wilayah Utara bagi siasatan lanjut, dan kes disiasat mengikut Peraturan 5 Peraturan–Peraturan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (Pelesenan) 2005,” ujarnya.

Pada masa sama, Shahrum berkata, Briged Utara Pasukan Gerakan Am sedang giat melakukan pengawasan dan rondaan sekitar Perak, Pulau Pinang dan Kedah bagi mengekang sebarany aktiviti yang menyalahi undang-undang.

Tambah beliau, pihaknya komited dan konsisten dalam menggerakkan tindakan penguatkuasaan serta tidak akan sesekali berkompromi dalam menguatkuasakan perundangan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast