ISKANDAR PUTERI – Tiga daripada lima kru helikopter AS355N yang cedera selepas terhempas di Sungai Pulai, Gelang Patah di sini, minggu lalu, sudah pun dibenarkan keluar Hospital Sultanah Aminah (HSA) di Johor Bahru.
Seorang daripadanya ialah Koperal Adeline Liu Yan Sin yang sebelum ini dilaporkan kritikal dan dibenarkan keluar hospital dan pulang ke rumah semalam.
Sementara juruterbang, Asisten Komisioner Faizul Muhammad dan pembantu juruterbang, Superintendan Ahmad Bustamin Baharom dibenarkan keluar HSA kelmarin.
Konstabel R G Devendran yang juga dilaporkan kritikal sebelum ini dan Sarjan Siti Latipa Khairuddin masih dirawat di HSA.
Suami kepada Yan Sin, Koperal Mohd Helmie Huzairie Sabli bersyukur kerana isterinya sudah keluar hospital dan perkembanganya semakin positif.
“Isteri saya, Alhamdulillah, sudah ok. Sudah boleh berjalan. Dia ‘discaj’ dari HSA semalam. Tuan Bustamin dan juruterbang, Asisten Komisioner Faizul Muhammad pula dibenarkan keluar hospital pada kelmarin.
“Isteri dan Faizul sudah pulang ke rumah, namun Bustamin ditempatkan di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM), Kuala Lumpur untuk rawatan lanjut,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Khamis lalu, helikopter dinaiki lima anggota Pasukan Gerakan Udara (PGU) itu terhempas ketika melakukan simulasi lintas hormat sempena program Latih Amal Pelbagai Hala Pengesanan Sekuriti Nuklear, Malaysia-Indonesia-Thailand-Singapura (MITSATOM) 2025 di Gelang Patah.
Insiden tersebut menyebabkan semua kru cedera dan diberikan rawatan di HSA.
Yan Sin dan Devendran dilaporkan kritikal manakala Faizul, Bustamin serta Siti Latipa cedera.
Bangkai helikopter bernombor pendaftaran 9M-PHG milik Polis Diraja Malaysia (PDRM) itu berjaya diangkat naik dari Sungai Pulai pada pukul 11 pagi tadi.
Komander PGU, Datuk Noor Sham Md Jani berkata, Komander PGU, Datuk Noor Sham Md Jani berkata, bangkai helikopter berkenaan akan dihantar ke Selangor.
“(Dihantar ke) PGU Subang,” katanya ringkas ketika dihubungi hari ini.- MalaysiaGazette
















