KUALA LUMPUR – Ketua Hakim Negara Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh disaran untuk mengambil langkah proaktif dalam mempertahankan kebebasan badan kehakiman selain segera menangani dakwaan salah laku hakim.
Ahli Parlimen Bangi merangkap Naib Pengerusi Kebangsaan DAP, Syahredzan Johan berkata, pelantikan Wan Ahmad Farid merupakan langkah penting yang membuka lembaran baharu buat institusi kehakiman negara.
Bagaimanapun katanya, pelantikan itu turut disambut dengan tanda tanya dalam kalangan rakyat.
Ini memandangkan latar belakang Wan Ahmad Farid yang pernah terlibat dalam politik kepartian serta isu kekananan berbanding beberapa hakim lain yang lebih lama berkhidmat.
“Beliau sebelum ini pernah menarik diri daripada mendengar kes-kes yang mempunyai potensi konflik kepentingan dengan bekas partinya. Dalam keputusan itu, beliau menekankan pentingnya prinsip kebebasan kehakiman satu prinsip yang kini menjadi harapan seluruh rakyat agar terus dipegang teguh,” katanya dalam kenyataan.
Sehubungan itu, Syahredzan berkata, rakyat menjangkakan Ketua Hakim Negara baharu akan terus mengamalkan prinsip ketelusan dan integriti termasuk menarik diri daripada sebarang prosiding yang boleh menimbulkan persepsi negatif terhadap institusi kehakiman.
ARTIKEL BERKAITAN
https://malaysiagazette.com/2025/07/18/profil-ketua-hakim-negara-yang-baharu/
Lebih penting, beliau berkata Wan Ahmad Farid wajar memulakan prosiding mengikut lunas undang-undang terhadap sebarang dakwaan salah laku membabitkan hakim, susulan pendedahan yang merujuk kepada kebocoran minit mesyuarat Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC) baru-baru ini.
“Beliau harus menggunakan peruntukan sedia ada seperti Perlembagaan Persekutuan, Akta Jawatankuasa Etika Hakim 2010 dan Judges’ Code of Ethics 2009 untuk memastikan setiap dakwaan disiasat secara menyeluruh dan telus.
“Tindakan ini penting bagi memulihkan semula keyakinan awam yang sedikit tercalar terhadap institusi kehakiman,” tegas Syahredzan.
Menurutnya, rakyat berharap Wan Ahmad Farid mampu meneruskan legasi mantan Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat yang dikenang kerana tegas mempertahankan kebebasan badan kehakiman daripada sebarang campur tangan politik atau kuasa luar.
Syahredzan turut mengingatkan kata-kata Wan Ahmad Farid sendiri sewaktu beliau menjadi Pesuruhjaya Kehakiman pada tahun 2017 yang perlu terus dijadikan pedoman: “The independence of the judiciary must be defended at any cost.” -MalaysiaGazette















