Anggota bomba mengusung mayat warga emas yang terjatuh dalam Sungai Muar dari Jambatan Panchor-Gersik, Muar, hari ini

TANGKAK – Mayat warga emas yang terjatuh dalam Sungai Muar dari Jambatan Panchor-Gersik di sini semalam, ditemukan pagi tadi.

Mayat Mesuan Sadiken, 62, ditemui dalam radius kira-kira tiga kilometer dari Jambatan Gersik iaitu lokasi warga emas tersebut terjatuh.

Ketua Polis Daerah Tangkak, Superitendan Roslan Mohd Talib berkata, mayat ditemui pukul 10 pagi selepas usaha pencarian oleh agensi penyelamat masuk hari kedua hari ini.

“Mayat mangsa akan dibawa ke Hospital Tangkak bagi tujuan prosedur bedah siasat. Mayat ketika ditemui berada dalam keadaan sempurna lengkap berpakaian.

“Kertas siasatan Orang Hilang (OH) telah diklasifikasi sebagai kematian mengejut (SDR). Siasatan masih diteruskan.

“Pihak polis merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Semalam anak mangsa membuat lapora polis pukul 8.45 semalam memaklumkan bapanya disyaki terjatuh dalam sungai tersebut.

Mangsa dilaporkan keluar seorang diri pada pukul 6 pagi dari Kampung Parit Tunggul, Kundang Ulu dengan memakai baju kemeja kotak lengan pendek dan kain pelekat biru.

Warga emas itu memandu kereta Mazda CX5 dan selepas itu seorang anaknya menelefon mangsa pukul 7.50 pagi tetapi tidak dijawab sebelum membuat laporan polis.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast