Noorazmir Zakaria

KUALA LUMPUR – Kluster Komunikasi KANUN (Biro Undang-Undang) Parti Amanah Negara (Amanah) menyifatkan desakan supaya ditubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) tidak lagi berbangkit susulan pengumuman lantikan baharu hakim-hakim kanan negara.

Menurut ketuanya, Noorazmir Zakaria, lantikan itu yang dimuktamadkan malam tadi juga seharusnya tidak lagi mendorong mana-mana pihak untuk mengadakan perhimpunan awam kononnya bagi menggesa ketelusan dalam lantikan kehakiman.

Ia kerana pelantikan itu jelas dibuat dengan penuh tertib dan adab yang sepatutnya, sekali gus menyelesaikan kontroversi berkaitan isu tersebut yang hangat diperkatakan, malah cuba dipolitikkan oleh sesetengah pihak.

“KANUN mengucapkan jutaan tahniah kepada hakim-hakim yang dilantik itu dan berharap mereka dapat terus memastikan prinsip-prinsip kebebasan kehakiman di bawah Perlembagaan terus dijunjung supaya keadilan dapat tertegak,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, media melaporkan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, memperkenankan pelantikan Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh sebagai Ketua Hakim Negara yang baharu.

Menurut kenyataan Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan Malaysia dalam Facebook Badan Kehakiman Malaysia tengah malam tadi, Seri Paduka membuat keputusan itu atas nasihat Perdana Menteri dan selepas berunding dengan Majlis Raja-Raja, berdasarkan Fasal (1) Perkara 122B Perlembagaan Persekutuan.

Turut dilantik ialah Datuk Abu Bakar Jais sebagai Presiden Mahkamah Rayuan dan Datuk Azizah Nawawi sebagai Hakim Besar Mahkamah Tinggi Sabah dan Sarawak.

Sementara itu, Noorazmir berkata, KANUN juga berharap hakim-hakim yang dilantik berkenaan dapat menyelesaikan isu-isu kehakiman yang berbangkit seperti kekurangan hakim dan tarikh bicara yang kini menyaksikan masa menunggu yang lama. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast