Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Balveer Singh Mahindar Singh

JOHOR BAHRU – Seorang penunggang maut selepas motosikal ditunggangnya kemalangan dengan sebuah lori di Kilometer 8 Lebuhraya Iskandar Sultan, arah Iskandar Puteri di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Balveer Singh Mahindar Singh berkata, pihaknya menerima maklumat kejadian tersebut pada pukul 1.20 petang.

“Kemalangan dipercayai berlaku semasa motosikal jenis Modenas Kriss ditunggang seorang lelaki berusia 58 tahun datang dari Setia Tropika menuju ke Taman Perling.

“Semasa di lorong kiri motosikalnya telah bergesel dengan tayar belakang sebuah lori jenis Mercedes-Benz Actros dipandu seorang lelaki tempatan berusia 31 tahun yang ketika itu berada di lorong kanan,” katanya dalam satu kenyataan.

Akibat kemalangan itu penunggang terbabit mengalami kecederaan parah di kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Sementara pemandu tersebut, katanya, tidak mengalami sebarang kecederaan.

Kes disiasat bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menyebabkan kematian akibat memandu secara melulu dan berbahaya.

Beliau menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat kejadian itu agar menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektor Muhammad Hafiz Aminuddin 011-35807871. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast