PETALING JAYA – Selepas lebih lima bulan prosiding, esok Mahkamah Sesyen di sini akan memutuskan sama ada pasangan ibu bapa kepada Allahyarham Zayn Rayyan Abdul Matin akan dipanggil membela diri atas tuduhan mengabaikan anak mereka.
Kes berprofil tinggi ini mula mendapat perhatian sejak Disember tahun lalu apabila kehilangan dan kematian tragis seorang kanak-kanak autistik berusia enam tahun di Apartment Idaman, Damansara Damai menjadi tajuk utama berita hingga mencetuskan gelombang emosi rakyat menuntut keadilan untuk si kecil itu.
Esok pagi sekitar jam 9 pagi, Hakim Dr Syahliza Warnoh akan membacakan keputusan sama ada wujud kes prima facie terhadap kedua-dua tertuduh, Zaim Ikhwan Zahari dan Ismanira Abdul Manaf, masing-masing berusia 30 tahun.
Pasangan ini didakwa mengabaikan anak mereka sehingga boleh menyebabkan kecederaan fizikal dalam kejadian antara 5 dan 6 Disember 2023.
Suami isteri itu sebelum ini mengaku tidak bersalah atas pertuduhan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun atau denda sehingga RM50,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Sepanjang perbicaraan yang bermula pada 4 Februari dan berakhir dengan penutupan kes pendakwaan pada 24 April lalu dengan seramai 28 orang saksi telah dipanggil bagi memberi keterangan.
Antara yang tampil memberi keterangan ialah pegawai penyiasat, guru pendidikan khas, pengasuh, pakar forensik, serta dua saksi kanak-kanak berusia 10 tahun yang menjadi antara elemen penting dalam naratif kes ini.
Pendedahan yang paling menggemparkan dan menyentuh perasaan rakyat Malaysia apabila saksi pakar dari Jabatan Perubatan Forensik Hospital Pasir Gudang, Dr Rohayu Shahar Adnan memberitahu mahkamah hasil bedah siasat mendapati punca kematian Zayn adalah akibat jerutan kuat di leher yang menjejaskan kemasukan oksigen ke otak dan paru-paru.
Beliau turut menyatakan tubuh mangsa menunjukkan kesan trauma tumpul dan tajam, termasuk lebam dan luka yang konsisten dengan penderaan fizikal.
Terdapat juga kecederaan pada bahagian sulit mangsa akibat kemasukan objek tumpul, selain lebam pada lelangit mulut yang menunjukkan kemungkinan berlakunya perbuatan paksa.
Bagaimanapun, beliau menjelaskan, kecederaan tersebut tidak menyebabkan kematian, tetapi menunjukkan tanda-tanda penderaan yang serius dan berlaku dalam tempoh masa yang dekat sebelum kematian.
Mayat Zayn Rayyan ditemukan dalam keadaan terbaring di tepi aliran anak sungai berhampiran rumahnya pada 6 Disember 2023, sehari selepas dilaporkan hilang.
Penemuan itu mencetuskan kejutan dan kemarahan orang awam, malah mencabar sensitiviti masyarakat terhadap isu keselamatan dan kebajikan kanak-kanak terutamanya yang berkeperluan khas.
Setelah pihak pendakwaan menutup kes mereka pada April, mahkamah mengarahkan semua pihak memfailkan hujahan bertulis selewat-lewatnya pada 23 Mei, manakala hujahan balas dikemukakan pada 6 Jun.
Dalam sesi akhir sebelum keputusan dijadualkan, Timbalan Pendakwa Raya Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin memaklumkan bahawa pihaknya menawarkan 23 saksi tambahan kepada pembelaan sekiranya mahkamah memutuskan terdapat kes prima facie.
Pasukan pendakwaan turut dianggotai oleh Aqharie Durranie Aziz dan Nur Sabrina Zubairi, manakala pasangan tertuduh diwakili oleh pasukan peguam bela yang diketuai Haresh Mahadevan, dibantu Ramzani Idris dan Lavanesh Haresh.
Pihak pembelaan pula memaklumkan mereka telah mengenal pasti tujuh saksi yang akan dipanggil jika pasangan tersebut diperintahkan membela diri.
Sekiranya keputusan mahkamah memihak kepada pendakwaan, perbicaraan akan bersambung ke fasa pembelaan bermula seawal 22 dan 23 Julai, dengan tambahan lima hari bermula 4 Ogos sebagaimana ditetapkan oleh mahkamah.
Kes ini telah menarik perhatian bukan sahaja kerana tragiknya kematian Zayn tetapi kerana tertuduh merupakan ibu bapanya sendiri iaitu satu realiti pahit yang mengundang pelbagai persoalan tentang sistem perlindungan kanak-kanak dan pengesanan awal penderaan.
Dengan latar belakang seorang kanak-kanak istimewa yang sepatutnya diberi perlindungan penuh kasih sayang, rakyat Malaysia kini menunggu detik penentu esok.
Seluruh perhatian kini tertumpu ke Mahkamah Sesyen Petaling Jaya sama ada keadilan akan diteruskan ke fasa pembelaan atau episod duka ini akan menemui noktah undang-undangnya. – MalaysiaGazette
Kes Zayn Rayyan: Pendakwaan tutup kes, hakim tetapkan keputusan 21 Julai ini















