MEKAH – Seramai 150 jemaah daripada tiga kumpulan Umrah ikhlas.com telah diraikan dalam satu majlis makan malam eksklusif yang berlangsung meriah di Wadi D’Fajr, Hudaibiyyah di sini.
Majlis penuh bermakna itu diisi dengan pelbagai aktiviti menarik seperti menunggang unta dan kuda, selain berpeluang memberi makan kepada haiwan-haiwan kesayangan Rasulullah SAW itu termasuk kambing.
Kanak-kanak turut tidak ketinggalan menikmati masa riang di kawasan permainan yang disediakan khas bagi menceriakan suasana kekeluargaan sepanjang majlis berlangsung.
Menjelang Maghrib, kumpulan berkenaan berpeluang menunaikan solat berjemaah bersama-sama, dan disusuli ucapan Ketua Pegawai Eksekutif ikhlas.com, Ikhlas Kamarudin.

Majlis turut diserikan dengan kehadiran 15 orang asnaf daripada program Umrah 1,000 Asnaf yang ditaja sepenuhnya oleh ikhlas.com.
Hidangan istimewa disediakan oleh D’Fajr Katering, manakala suasana majlis menjadi lebih meriah dengan kehadiran empat selebriti terkenal tanah air iaitu Aprena Manrose, Amy Nur Tinie, Johan As’ari dan Azhar Amir.
Dalam pada itu, jemaah yang menyambut ulang tahun kelahiran pada Jun dan Julai turut diraikan dengan penuh kemeriahan, sekali gus menambahkan lagi seri majlis.
Bercakap kepada MalaysiaGazette, Ikhlas berkata, program tersebut merupakan satu acara biasa yang dijalankan setiap kali adanya jemaah umrah yang dibawa menggunakan agensi itu.
Katanya, program berkenaan merupakan antara komitmen ikhlas.com dalam memastikan pengalaman umrah pelanggan bukan sahaja spiritual tetapi juga sarat dengan kenangan bermakna.

Jelas beliau, mereka akan dihidangkan dengan makanan yang istemewa menerusi kenduri secara besar-besaran dan ini sudah pastinya menambah eratkan lagi ikatan silaturahim antara jemaah.
“Golongan asnaf atau mereka yang memilih pakej-pakej biasa juga kita bawa ke tempat-tempat sebegini…ini sangat istimewa.
“Sebenarnya, apa yang hendak ditonjolkan oleh ikhlas.com adalah, meskipun pelanggan memilih pakej dengan harga yang murah namun, mereka masih lagi boleh merasai pengalaman yang bukannya dengan kualti rendah. – MalaysiaGazette
















