Anggota bomba mengusung mayat seorang remaja yang ditemui lemas di Sungai Segamat, Segamat petang semalam.

SEGAMAT – Kegembiraan tiga rakan mandi dan memancing di Sungai Segamat di sini berakhir tragedi apabila seorang daripada mereka lemas emas petang semalam.

Mangsa yang lemas, Muhammad Azfar Ammer Abdullah berusia 14 tahun.

Ketua Polis Daerah Segamat, Superintenden Ahmad Zamry Marinsah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu kira-kira pukul 4 petang daripada orang awam.

“Bertindak atas maklumat tersebut, sepasukan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Segamat bersama-sama sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP), Segamat digerakkan ke lokasi kejadian.

“Operasi mencari dan menyelamat (SAR) melibatkan 10 anggota bomba, 20 anggota polis serta dibantu penduduk kampung.

“Mayat mangsa akhirnya berjaya ditemukan pasukan penyelamat pukul 6.18 petang sebelum dibawa ke Unit Forensik Hospital Segamat untuk tindakan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, siasatan awal mendapati, mangsa bersama-sama dua rakannya pergi ke lokasi berkenaan sekitar pukul 3.30 petang untuk memancing dan mandi sungai.

Bagaimanapun, pada pukul 4 petang, seorang rakannya menyedari mangsa tenggelam dan segera menghubungi pihak polis bagi mendapatkan bantuan.

Ahmad Zamry berkata, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung kejadian itu diharap dapat berhubung dengan pusat kawalan daerah Segamat 07-9324222 bagi membantu siasatan.

Sementara itu Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Segamat, Penolong Penguasa Bomba, Mohd Hazim Abd Razak berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian tersebut pada pukul 4.08 petang.

Katanya, sebaik menerima panggilan satu jentera Light Fire Rescue Tender (LFRT), dua pikap jenis Toyota Hilux, satu bot dan 11 anggota bomba telah dikejarkan ke lokasi sejauh tiga kilometer.

“Pencarian dibuat di sepanjang sungai menggunakan bot hingga menemui mangsa di tebing sungai sejauh 5 meter dari kawasan mangsa dilaporkan hilang.

“Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi dan mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut. Operasi ditamatkan pukul 6.40 petang,” katanya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast