JOHOR BAHRU – Seorang pemandu e-hailing dan penumpangnya warga Singapura maut selepas kereta dinaiki merempuh belakang lori di Kilometer (KM) 9, Jalan Johor Bahru-Air Hitam menghala ke Skudai, di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Balveer Singh Mahindar Singh berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian itu pada pukul 11.27 pagi.
“Siasatan awal mendapati kemalangan melibatkan kereta Perodua Bezza yang dipandu lelaki tempatan berusia 48 tahun bersama-sama seorang penumpang lelaki warga Singapura berumur 27 tahun.
“Kereta yang menjalankan khidmat e-hailing itu dipercayai dalam perjalanan dari arah Johor Bahru menuju ke Skudai telah hilang kawalan lalu melanggar bahagian belakang sebelah kiri sebuah lori jenis Mitsubishi Fuso dipandu lelaki tempatan berusia 28 tahun.
“Akibat pelanggaran itu, pemandu Perodua Bezza mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian, penumpangnya pula cedera parah dan meninggal dunia semasa menerima rawatan di Hospital Sultanah Aminah (HSA), Johor Bahru,” katanya dalam satu kenyataan.
Katanya, pemandu lori pula dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan dalam kemalangan tersebut.
Balveer Singh berkata, kes disiasat bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menyebabkan kematian akibat memandu secara melulu atau berbahaya.
Beliau meminta orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkenaan kejadian tersebut diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Zulhisyam Aziz 019-7432966.
Sementara itu, Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Larkin, Penguasa Bomba Kanan I Shahrizal Abdul Rahman berkata, pemandu kereta berkenaan maut di tempat kejadian akibat cedera parah.
“Pihak bomba mengeluarkan mangsa yang tersepit itu sebelum memberikan rawatan awal namun meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya dalam kenyataan.- MalaysiaGazette
















