Tian Soon (tiga kanan) dalam Majlis Penyerahan sumbangan Mesin Echocardiogrphy bernilai RM299,000 oleh Ikbal Salam & Association kepada Unit Kardiotorasik dan Perfusi HSA di HSI, Johor Bahru, hari ini.

JOHOR BAHRU – Johor kekurangan kira-kira 4,600 petugas kesihatan di seluruh negeri yang perlu diisi bagi menampung kekurangan mendesak ketika ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Ling Tian Soon berkata, kekosongan itu melibatkan doktor pakar, pegawai perubatan, jururawat serta petugas teknikal dan sokongan.

“Sehingga kini, Johor mempunyai lebih 29,000 petugas kesihatan, namun masih berdepan kekurangan sekurang-kurangnya 4,600 pegawai terbabit.

“Johor Selatan menjadi tumpuan utama kerana kawasan ini mencatat jumlah pesakit tertinggi di negeri ini. Kita harap kementerian dapat beri keutamaan kepada zon ini dalam pengagihan petugas baharu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Penyerahan sumbangan Mesin Echocardiogrphy bernilai RM299,000 oleh Ikbal Salam & Association kepada Unit Kardiotorasik dan Perfusi Hospital Sultanah Aminah (HSA) di Hospital Sultan Ismail (HSI) di sini hari ini.

Kata Tian Soon, bagi menampung kekurangan itu
khidmat sukarelawan Southern Volunteer (SV) akan digunakan bagi mengurangkan beban petugas kesihatan di hospital-hos pitalutama negeri ini pada masa ini untuk jangka masa pendek.

Beliau memberitahu, fasa pertama melibatkan seramai 100 sukarelawan SV akan menjalani latihan dan kursus selama seminggu di hospital negeri ini.

“Sukarelawan ini akan berkhidmat membantu daripada segi kerja-kerja pengeranian, pengurusan dan pendaftaran pesakit di dua hospital utama di Johor dalam masa terdekat.

“Sukarelawan SV yang telah diberi latihan akan membantu petugas kesihatan melakukan kerja bukan bidang perubatan. Contohnya daripada segi pendaftaran, menolak katil pesakit ke wad atau sebagainya,” katanya.

Langkah iu dilihat dapat mengurangkan beban tugas dipikul petugas kesihatan negeri ini yang berdepan isu sumber manusia pada tahap kritikal.

Jelas beliau, kekurangan itu diisi sementara menunggu langkah jangk panjang termasuk penambahan kuota latihan dan penempatan petugas baharu di Johor.

“Mudah-mudahan sukarelawan ini dapat mengurangkan bebanan sistem kesihatan. Kalau kita hendak memenuhi semua penjawatan, memang ramai dan memang banyak kekurangan.

“Tetapi daripada segi bantuan ianya dapat mengurangkan bebanan petugas kesihatan dan mereka tidak perlu lagi hantar sampel ke makmal, tidak perlu lagi isi borang.

“Biar sukarelawan yang bantu supaya jururawat ataupun doktor kita dapat berkhidmat dan fokus kerja-kerja mereka,” katanya.

Menurut Tian Soon, itu antara langkah proaktif dipersetujui dalam Pasukan Tindakan Khas yang ditubuhkan kerajaan negeri dan Kementerian Kesihatan (KKM) dalam pertemuan dengan Menterinya, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad dan barisan kepimpinan Johor diketuai Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi minggu lalu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Yong Peng itu berkata, penglibatan sukarelawan terbabit akan dilaksanakan secara berjadual mengikut syif.

“Kerajaan negeri juga mempertimbang pemberian elaun sebagai tanda penghargaan menjadikan inisiatif ini yang pertama seumpamanya dilaksana secara rasmi di hospital awam Johor.

“Pertemuan antara kerjaan negeri dan Pusat pada minggu lalu sangat positif khususnya dalam perbincangan tentang kekurangan sumber manusia di hospital selatan Johor iaitu di HSA, HSI dan juga Hospital Pasir Gudang (HPG) yang akan beroperasi.

“Menerusi Pasukan Tindakan Khas ini, kita akan berjumpa setiap bulan dan akan berjumpa berbincang tentang isu macam mana perancangan pihak KKM untuk meningkatkan atau menambah kuota-kuota latihan kepada petugas kesihatan.

“Dengan langkah itu akan menghasilkan lebih ramai lagi petugas kesihatan di peringkat kebangsaan dan sebahagiannya akan dihantar ke negeri Johor. Sekali gus membantu Johor untuk selesaikan isu kekurangan sumber manusia,” katanya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast