Dr Zuhan Mohd Zain

JOHOR BAHRU – Tindakan Pas tidak hadir pertemuan rentas parti pemimpin blok bukan kerajaan Jumaat lalu dilihat sebagai isyarat perpecahan dalam Perikatan Nasional (PN) yang semakin melebar.

Naib Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Johor, Dr Zuhan Zain berkata, ketidakhadiran Pas menimbulkan persoalan dengan memberi alasan yang sukar diterima sedangkan pertemuan tersebut dianggap penting terutama PN.

“Ketiadaan Pas dalam pertemuan yang dikatakan penting untuk menyelaras agenda pembangkang menggambarkan betapa rapuhnya struktur dalaman PN dan alasan (tidak hadir kerana ada) komitmen lain yang diberikan oleh pimpinan Pas.

“Ini hanya menambah kekaburan terhadap tahap kesepakatan dan penyelarasan antara parti komponen pembangkang,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Pada Jumaat, Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengadakan pertemuan dengan ketua-ketua parti blok bukan kerajaan bagi membincangkan cadangan penubuhan sebuah barisan rentas parti di kalangan parti pembangkang.

Bagaimanapun, wakil Pas tidak disenaraikan sebagai antara yang menyertai perjumpaan berkenaan, walaupun parti itu merupakan antara komponen utama dalam PN.

Susulan itu pada Sabtu, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menafikan pimpinan Pas tidak dijemput dalam pertemuan berkenaan.

Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz berkata, jemputan dihantar kepada kepemimpinan tinggi Pas namun tiada wakil yang hadir.

Beliau turut menjelaskan itu bagaimanapun bukan membabitkan pertemuan rasmi, sebaliknya hanya bersifat santai.

Mengulas lanjut, Zuhan berkata, sebagai parti yang mendakwa memperjuangkan perpaduan ummah dan kekuatan politik Melayu-Islam, ketidakhadiran itu membuktikan tiada persefahaman jitu dalam kalangan parti pembangkang.

Beliau yang juga Ketua Pas Kawasan Kulai berkata, itu adalah petunjuk jelas blok pembangkang hari ini tidak mampu membentuk satu gabungan kukuh, jauh sekali untuk tampil sebagai alternatif yang diyakini rakyat.

“Perpecahan PN semakin melebar sedangkan mereka ghairah menuding jari kepada kerajaan Perpaduan dalam pelbagai isu, mereka sendiri gagal menampilkan kesatuan asas untuk memperjuangkan kepentingan rakyat secara bersepadu.

“Amanah Johor menyeru seluruh rakyat agar terus bersama-sama kerajaan Perpaduan yang stabil, progresif dan berpaksikan kebajikan rakyat,” ujarnya.

Dakwanya, ini berbeza dengan pembangkang yang kian tenggelam dalam konflik dalaman dan kepentingan peribadi.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast