Tiga remaja lelaki dibawa ke Mahkamah Tinggi Johor Bahru untuk disambung reman atas tuduhan culik, pukul dan paksa remaja sertai kongsi gelap.

JOHOR BAHRU – Tiga suspek yang ditahan polis kerana disyaki menculik dan memukul seorang pelajar kerana enggan menyertai kumpulan kongsi gelap, minggu lalu disambung reman selama tiga hari lagi bermula hari ini.

Pendaftar Mahkamah Tinggi Johor Bahru, Mohamad Ridhwan Syarizal membenarkan permohonan reman tersebut yang dibuat pegawai penyiasat dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan.

Sebelum ini, ketiga-tiga suspek lelaki berusia 17 dan 18 tahun itu telah ditahan reman selama empat hari bermula Jumaat lalu dan berakhir hari ini.

Terdahulu ketiga-tiga suspek tiba ke pekarangan Kompleks Mahkamah Johor Bahru pada pukul 8.20 pagi dengan memakai baju lokap polis berwarna ungu.

Khamis lalu, seorang pelajar tingkatan empat mendakwa dia dan rakannya diculik serta dipukul sekumpulan ahli kongsi gelap hanya kerana menolak untuk menyertai kumpulan mereka.

Mangsa yang mahu dikenali sebagai Alex berkata, kejadian tersebut berlaku pada pukul 6 petang ketika dia dan rakannya dalam perjalanan balik rumah selepas selesai bermain badminton.

Katanya, mereka didatangi sekumpulan enam lelaki yang menangkap dan memaksa mereka menaiki dua kenderaan berasingan.

“Semasa dalam kereta, kepala saya ditutup dengan kain, ditampar dan dipukul beberapa kali. Mereka kemudian berhenti di kawasan semak dan membawa saya keluar kereta.

“Di situ, ada beberapa orang sudah berkumpul dan ada antara mereka saya kenal di sekolah. Mereka kemudian memukul saya termasuk menggunakan kayu.

“Selain itu, mereka juga membuka pakaian saya dan mengambil gambar untuk mengugut saya agar menyertai kumpulan kongsi gelap mereka,” katanya.

Mangsa tampil membuat laporan di Balai Polis Taman Pelangi pada pukul 11.41 malam pada hari yang sama.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast