Gambar hiasan

JOHOR BAHRU – Parti Amanah Negara (Amanah) dan Pakatan Hadapan (PH) Johor sedia bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Iskandar dan DUN Skudai dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) nanti.

Ketua Amanah Kawasan Iskandar Puteri, Sr Dzulkefly Ahmad berkata, pendirian rasmi tersebut adalah hasil daripada keputusan Mesyuarat Agung Tahunan Kawasan Iskandar Puteri yang diadakan kelmarin.

Timbalan Pengerusi Amanah Johor itu berkata, Amanah dan PH wajar bertanding secara solo di dua kerusi DUN dalam Parlimen Iskandar Puteri itu.

“Mesyuarat Agung juga memutuskan bahawa Amanah Kawasan Iskandar Puteri dan PH bersedia bertanding semula di DUN Kota Iskandar sebagaimana dilakukan dalam PRN Johor sebelum ini.

“Ini merupakan bukti komitmen dan kesungguhan Amanah dalam memperkukuh kekuatan PH di kawasan strategik ini, demi memastikan kesinambungan pentadbiran progresif dan inklusif untuk rakyat,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, Amanah Kawasan Iskandar Puteri juga menyatakan bahawa sebarang rundingan politik dalam PRN Johor yang akan datang harus mengambil kira kekuatan akar umbi serta prestasi calon dan parti di kawasan masing-masing.

Sehubungan itu katanya, Amanah bersedia berhadapan dengan sebarang kemungkinan termasuk pertandingan tiga penjuru sekiranya perlu dengan membawa agenda perpaduan rakyat, reformasi institusi dan pembangunan mampan.

“Pendirian ini dibuat atas semangat memperkukuhkan Pakatan Harapan dan memastikan rakyat Johor terus mendapat pilihan terbaik dalam menilai parti dan calon yang berwibawa, berprinsip serta berpaksikan kepentingan rakyat, bukan agenda sempit politik kuasa,” katanya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast