Kartunis, Zunar mempamerkan lakaran atau lukisan terakhir Anwar Ibrahim ketika di penjara Sg Buloh pada Majlis Peluncuran Buku Melukis Dengan Hati: Biografi Perjalanan Seni 50 Tahun Karya Zunar di Shah Alam. Foto MOHD ADZLAN, 22 JULAI 2025.

SHAH ALAM – Kartunis, Zunar melahirkan kebimbangan dengan teknologi Kecerdasan Buatan (AI) meskipun menjadi trend pada masa ini kerana ia boleh mengancam kerjaya dan hak cipta pengkarya tempatan.

Zunar atau nama sebenarnya Zulkiflee SM Anwarul Haque berharap kerajaan dapat melakukan sesuatu untuk melindungi industri seni itu yang kini kian diancam kepupusan dek kerana keupayaan AI mengambil alih tugas mereka.

“Bila saya sebut AI ini Kecerdasan Buatan bukan saya rujuk kepada seseorang (gelak tawa). AI sebenarnya menjadi trend yang bagus tapi kepada pelukis-pelukis visual diterima dengan (perasaan) bercampur aduk.

“Ini kerana AI boleh membunuh kerjaya kartunis terutamanya, kerana orang bertanya kenapa kartunis sedangkan AI boleh melakukan itu. AI boleh membunuh ketulenan seni, ia jadi artificial.

“AI juga boleh membunuh prospek, orang muda nak jadi kartunis sudah tiada. Nanti orang kata, kenapa kami nak ambil kamu bekerja (sedangkan) kami boleh guna AI,” katanya berucap pada Majlis Peluncuran Buku Melukis Dengan Hati: Biografi Perjalanan Seni 50 Tahun Karya Zunar di Pustaka Tun Raja Uda hari ini.

Turut hadir, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isterinya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama kartunis politik, Zunar melihat buku selepas Majlis Peluncuran Buku Melukis Dengan Hati: Biografi Perjalanan Seni 50 Tahun Karya Zunar di Pustaka Raja Tun Uda, Shah Alam. Foto MOHD ADZLAN, 22 JULAI 2025.

Hadir sama, Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil; Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.

Zunar juga berkata, usaha kerajaan untuk mempromosikan AI di negara sangat baik khususnya daripada segi teknologi dan informasi.

Bagaimanapun ia boleh mengancam hak cipta pengkarya.

“Bulan lepas di mahkamah Amerika apabila Meta iaitu pemilik Facebook disaman oleh penulis Sarah Silverman kerana Meta mengambil hasil karya beliau untuk dijadikan modul latihan tetapi penulis kalah.

“Ertinya ketika zaman AI tiada jaminan kepada pengkarya-pengkarya akan diselamatkan, saya harap dapat dilakukan sesuatu,” katanya.

Katanya lagi, kerajaan boleh mencontohi Denmark yang meluluskan undang-undang di mana rakyatnya boleh melindungi wajah mereka daripada menjadi mangsa AI secara undang-undang.

“Orang tidak boleh menggunakan aplikasi AI terhadap muka kita, saya harap ini diambil berat oleh kerajaan untuk melindungi, kerana banyak sekarang berlaku sebegitu,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast