Ishak mengaku salah atas pertuduhan melakukan onani di Mahkamah Majistret Kluang hari ini.

KLUANG – Mahkamah Majistret di sini hari ini menjatuhkan hukuman penjara selama enam bulan terhadap seorang duda atas kesalahan melakukan onani di tempat awam di sini minggu lalu.

Ishak Abdul Hamid, 54, mengangguk faham dan mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa Mahkamah dihadapan Majistret Mustaqim Sukarno.

Menurut kertas pertuduhan, dia melakukan kelucahan melampau iaitu dengan beronani di tempat awam di hadapan seorang wanita berusia 22 tahun pada pukul 4.40 petang, 16 Julai lalu.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 377D yang membawa hukuman penjara selama tempoh dua tahun.

Ishak yang juga seorang duda kematian isteri dan hidup sebatang kara tidak diwakili peguam memohon agar diringankan hukuman terhadapnya kerana pernah ditimpa penyakit angin ahmar.

Timbalan Pendakwa Raya, Siti Nurfara Fazilun Izylin Ahmad mencadangkan hukuman setimpal dikenakan sebagai pengajaran kepada umum dan mengambil kira faktor kepentingan awam.

Mahkamah kemudiannya menetapkan hukuman penjara selama enam bulan daripada tarikh mula tertuduh ditahan.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast