Anggota PGA dan agensi lain melihat sisa e-waste yang dirampas dalam serbuan di Jalan Batu Anam, Buloh Kasap, Segamat, baru-baru ini.

SEGAMAT – Pasukan Gerakan Am (PGA) menumpaskan sindiket pemprosesan sisa elektronik (e-waste) dengan rampasan RM190 juta di Jalan Batu Anam, Buloh Kasap di sini baru-baru ini.

Pegawai Pemerintah Batalion 5 PGA Simpang Renggam, Superintendan Salehin Suleiman berkata, kejayaan itu dilakukan melalui serbuan dalam sebuah premis menerusi operasi bersepadu 16 Jun lalu.

Jelas beliau, serbuan melibatkan Jabatan Alam Sekitar, Jabatan Imigresen dan Majlis Perbandaran Segamat itu dilakukan menerusi Op Hazard 2.0.

“Seramai 56 individu ditahan termasuk dua warga tempatan iaitu seorang lelaki dan seorang wanita yang merupakan pemandu lori dan kerani premis.

“Turut dirampas sisa e-waste seberat kira-kira 5,920 tan, plastik pelbagai jenis 9.45 tan, besi 1,031 tan, 23 unit forklift, 42 buah mesin serta sebuah lori treler,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Salehin berkata, dalam operasi berasingan, Batalion 5 PGA menahan 25 pendatang asing tanpa izin (PATI) dalam serbuan di kawasan kebun sawit Ladang Tumbuk, Selangor pukul 6.30 pagi pada 14 April lalu.

“Tangkapan membabitkan 16 lelaki dan sembilan wanita dewasa yang dipercayai baru tiba melalui jalan laut tidak diwartakan dan gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri.

“Kesemua mereka diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Langat untuk tindakan lanjut di bawah Akta Imigresen 1959/63,” ujar beliau.

Salehin menyeru orang ramai untuk menyalurkan maklumat berkaitan lambakan barangan kontraban dan kemasukan PATI di laluan tidak sah menerusi hotline Pejabat Risik/Gerakan Batalion 5 PGA di talian 07-7557280.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast