KUALA LUMPUR – Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya rasa tidak puas hati terhadap tindakan menukar pegawai polis yang didakwa terlibat dalam kes pemerasan dan gangguan terhadap seorang pelancong wanita baru-baru ini.
Tegas Datuk Seri Tiong King Sing, tindakan sedemikian tidak memadai dan gagal meyakinkan rakyat.
“Insiden ini bukan perkara kecil. Ia melibatkan dakwaan yang hampir kepada gangguan seksual. Bagaimana perkara sebegini boleh ditangani dengan begitu ringan?
“Saya menggesa Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengambil perkara ini dengan serius dan memastikan setiap pegawai mematuhi disiplin serta etika profesional dengan tegas,” katanya dalam kenyataan di Facebook hari ini.
Menurut King Sing, menjaga integriti pasukan polis adalah kunci untuk memulihkan keyakinan awam dan memastikan imej Malaysia sebagai destinasi pelancongan selamat terus terpelihara.
“Ini penting bukan sahaja untuk mengembalikan kepercayaan rakyat terhadap pasukan polis tetapi juga untuk membuktikan komitmen Malaysia dalam melindungi keselamatan dan maruah semua pelancong, sama ada tempatan atau antarabangsa,” tegasnya.
King Sing yang kini berada di luar negara atas urusan rasmi memaklumkan beliau telah mengarahkan Timbalan Ketua Setiausaha (Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya) untuk mendapatkan maklumat lanjut daripada Bukit Aman serta memantau perkembangan kes berkenaan.
“Kami akan terus mengikuti perkembangan kes ini rapat-rapat dan memastikan keadilan ditegakkan untuk mangsa. Saya juga menggesa orang ramai agar tidak hilang keyakinan terhadap pelancongan Malaysia hanya kerana kes terpencil ini,” ujarnya.
Beliau turut mengumumkan akan mengadakan pertemuan dengan Ketua Polis Negara sebaik kembali ke tanah air untuk membincangkan langkah memperkukuh hak-hak pelancong termasuk meningkatkan keberkesanan dan keterlihatan polis pelancong di lapangan.
Selain itu, King Sing mencadangkan supaya diwujudkan keperluan wajib kehadiran pegawai berpangkat lebih senior seperti sarjan di sekatan jalan raya atau pemeriksaan polis bagi memastikan integriti disiplin anggota serta mengelakkan salah laku.
“Saya juga menggesa semua pelancong, baik tempatan mahupun antarabangsa agar segera membuat laporan polis jika berdepan insiden seperti ini serta memaklumkan kepada kementerian. Kami akan membantu sedaya upaya dalam kapasiti kami,” tegasnya. -MalaysiaGazette















