PUTRAJAYA – Inisiatif Kesejahteraan Rakyat Malaysia MADANI (Sejahtera MADANI) menjadi kemudi kepada usaha kerajaan dalam menoktahkan kemiskinan dan miskin tegar di negara ini.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, inisiatif berkenaan bukan sahaja merangkumi bantuan kewangan malah, dalam bentuk barangan serta perkhidmatan termasuk latihan.
“Ini satu usaha yang baik dikoordinasikan Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) dan tentunya selain program kerajaan sedia ada bagi pembasmian kemiskinan, tetapi tumpuan turut terarah kepada kemiskinan dalam bandar,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Peluncuran Sejahtera MADANI yang disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Kompleks Seri Perdana di sini hari ini.
Program Sejahtera MADANI yang diselaras oleh ICU Jabatan Perdana Menteri, menyatukan pelbagai bentuk intervensi merentas kementerian, agensi dan sektor korporat.
Ia memberi tumpuan dalam empat fokus utama iaitu pendapatan, pendidikan, perumahan dan kebajikan.
Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata, Sejahtera MADANI menjadi kaedah terbaik dalam usaha menoktahkan kemiskinan tegar.
Bagaimanapun, beliau berkata, setiap kaedah itu perlu disusuli dengan tindakan susulan.
“Lazimnya kita tangani masalah kemiskinan tetapi kita jangan bagi ikan, kita harus bagi kail supaya dengan kail orang boleh menangkap ikan.
“Ertinya, Sejahtera MADANI ini adalah sati program jangka panjang yang amat baik, menyatukan usaha oleh kerajaan dan sektor swasta dalam menoktahkan kemiskinan tegar,” tambah beliau. – MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN:
Sejahtera MADANI himpun pelbagai bentuk intervensi tangani kemiskinan berfokus – PM
















