JOHOR BAHRU – Seorang jurutera wanita tidak lena tidur selepas wang pelaburannya berjumlah RM178,200 hangus dalam pelaburan saham dalam talian.

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Asisten Komisioner Mohd Sohaimi Ishak berkata , kejadian itu bermula pada Mac lalu apabila mangsa, 33, tertarik dengan iklan pelaburan saham dalam Telegram.

“Tertarik dengan pulangan lumayan yang dijanjikan dalam masa singkat, mangsa kemudiannya menekan pautan yang disertakan.

“Seterusnya mangsa membuat sebanyak 19 transaksi ke tiga akaun bank berbeza dari 20 Mac hingga 15 Julai 2025 dengan nilai keseluruhannya berjumlah RM178,200,” katanya dalam kenyataan.

Katanya, mangsa kemudian diminta membuat bayaran tambahan bagi mengeluarkan keuntungan pelaburan.

Namun usaha itu katanya, gagal apabila mangsa akhirnya sedar ditipu kerana wang pelaburannya langsung tidak dapat dikembalikan lalu membuat laporan polis semalam.

Tambah Mohd Sohaimi, siasatan awal menerusi semakan platform Semak Mule CCID mendapati ketiga-tiga akaun terlibat memiliki sebanyak 21 rekod laporan polis berkaitan kes penipuan pelaburan.

Ujarnya, kes kini disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

“Siasatan juga akan meliputi kemungkinan pembabitan ‘keldai akaun’ dan tindakan akan diambil terhadap pemilik akaun yang dikenal pasti terlibat,” katanya.

Mohd Sohaimi menasihatkan orang awam agar lebih berwaspada terhadap sebarang pelaburan dalam talian yang menjanjikan pulangan tinggi dalam tempoh singkat.

Katanya, jangan mudah terpedaya dengan janji manis keuntungan segera tetapi semak dahulu kesahihan syarikat atau individu melalui Suruhanjaya Sekuriti Malaysia sebelum membuat sebarang pembayaran.

“Elakkan juga daripada memberikan maklumat peribadi atau perbankan kepada pihak tidak dikenali. Gunakan juga portal Semak Mule untuk menyemak nombor akaun yang mencurigakan.

“Orang ramai juga digesa mengikuti media sosial Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) seperti Facebook, Instagram dan TikTok untuk mengetahui taktik terkini jenayah penipuan komersial.

“Sekiranya telah menjadi mangsa penipuan, segera hubungi National Scam Response Centre (NSRC) di talian 997 bagi tindakan awal menyekat pengaliran keluar wang daripada akaun suspek,” katanya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast