KUALA LUMPUR – Wanita UMNO Sabah berpandangan sudah tiba masanya penggubalan Akta Anti Buli yang menyentuh aspek keselamatan pelajar, tanggungjawab institusi pendidikan dan keadilan untuk mangsa disegerakan.
Ketuanya, Datuk Noraini Idris berkata, dengan adanya Akta Anti Buli itu, mana mana pihak terlibat termasuk sekolah, asrama atau institusi pendidikan akan dipertanggungjawabkan secara undang-undang jika cuai dalam menangani, melindungi mangsa atau cuba menyembunyikan isu buli yang berlaku di lokasi pengawasan mereka.
Jelasnya, akta itu juga akan memberikan mesej jelas bahawa isu buli bukan kesalahan remeh, tapi jenayah serius dan tidak akan dikompromi walau di mana sekali pun.
Ia juga, ujar beliau, akan mengurangkan budaya buli senyap yang selama ini dianggap sebagai normalisasi dalam banyak institusi.
“Tanpa undang-undang khusus banyak kes buli hanya dianggap sebagai ‘salah laku disiplin’, bukan jenayah,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Terdahulu, institusi pendidikan di Sabah dikejutkan dengan kematian seorang pelajar Tingkatan Satu, Zara Qairina Mahathir selepas terjatuh dari tingkat tiga bangunan sekolah yang dikaitkan dengan kejadian buli.
Sehubungan itu, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek hari ini memberi jaminan tindakan sewajarnya akan diambil berlandaskan undang-undang dan kes berkenaan ketika ini sedang dalam siasatan polis.
Menyentuh mengenai insiden itu, Noraini berkata, memandangkan ia berlaku di dalam kawasan sekolah, maka pihak sekolah perlu mengambil tanggungjawab sepenuhnya, tanpa dilihat cuba menyembunyikan fakta.
Menurut beliau, kejadian itu memerlukan kebertanggungjawaban semua pihak terutama guru dan warden asrama dalam mencegah dan mengawasi perkara tersebut daripada berlaku terhadap mana-mana pelajar di bawah pengawasan mereka.
“Pihak sekolah perlu lebih bertanggungjawab dalam menunaikan amanah yang diberikan oleh ibu bapa dan kerajaan kepada mereka untuk melindungi pelajar.
“Kita tidak perlukan lagi kenyataan berbaur penyesalan. Kita perlukan tindakan segera dengan penggubalan Akta Anti-Buli,” katanya. – MalaysiaGazette
















