JOHOR BAHRU – Himpunan Turun Anwar yang akan diadakan esok tidak akan menggugat kedudukan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri.
Naib Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Negeri Johor, Faezuddin Puad berkata, ini kerana rakyat boleh menilai prestasi Anwar dan Kerajaan Madani menerajui negara.
“Rakyat hari ini sudah lebih cerdik dan matang. Mereka boleh nilai sendiri antara retorik kosong pembangkang dan prestasi sebenar kerajaan.
“Fakta mengenai prestasi cemerlang Kerajaan Madani tidak boleh disorok pembangkang, satu demi satu kejayaan berjaya diraih.
“Contohnya inflasi turun ke paras 1.1 peratus, rizab negara meningkat kepada US$120 bilion dolar, kadar pengangguran menurun 3.1 peratus, pelaburan asing meningkat, gaji penjawat awam naik 42 peratus dan gaji minimum naik RM1,700.
“Kelmarin pula PMX umum minyak turun RM1.99 dan bantuan tunai seperti Sumbangan Tunai Rahmah (STR), Sumbangan Asas Rahmah (SARA) serta Bantuan Awal Persekolahan (BPA) terus disalurkan.
“Malah PMX juga tidak sakau atau curi wang rakyat masuk poket sendiri,” ujarnya yang juga Ketua Cabang Parti Keadilan Rakyat (PRK) Pulai dalam satu kenyataan.
Katanya, berdasarkan pencapaian secemerlang itu tidak ada sebab untuk Anwar diturunkan malah akan kekal disokong majoriti besar rakyat hingga penggal seterusnya supaya dapat memperbaiki ekonomi negara.
Justeru katanya, perhimpunan itu tidak wajar dihalang kerana tiada apa-apa masalah besar dan mengadakan himpunan secara aman sememangnya hak rakyat yang dijamin Perlembagaan Persekutuan.
“Kita harus tonjolkan sikap Kerajaan Madani yang sentiasa meraikan kehendak rakyat yang ingin bersuara dan berhimpun secara aman. Saya cukup yakin Kerajaan Madani hari ini jauh lebih progresif dan jauh lebih lebih baik.
“Saya beri contoh baru-baru ini, perarakan peguam dari Istana Kehakiman ke pejabat Perdana Menteri di Putrajaya berjalan lancar. Tiada tangkapan, tiada halangan. Apa yang berlaku? PMX sendiri sediakan air mineral dan aiskrim buat para peserta perarakan.
“Bahkan ketika gambar PMX dibakar oleh mahasiswa di Sabah, beliau masih berlembut. Tiada arahan tangkap, tiada arahan buang universiti dan tiada ugutan. Kalau ini pun mereka masih mahu dakwa kerajaan Madani bersikap kejam, saya fikir mereka sudah ketandusan hujah,” ujarnya.
Beliau tidak mahu peristiwa dahulu berulang semasa Perhimpunan Bersih sehingga ada pemimpin yang begitu fobia apabila rakyat hendak berhimpun.
“Sikit-sikit tangkap. Sebagai contoh. Siapa masih ingat sejarah baju kuning? Waktu itu sesiapa memakai baju kuning di tempat awam berisiko akan ditangkap kerana bimbang mempromosi himpunan Bersih.
“Sehingga timbul persepsi pihak berkuasa digunakan oleh pemerintah sebagai alat untuk menakutkan rakyat,” katanya.
Tambahnya, selagi himpunan berjalan dengan aman tidak melampau, tidak ganas, tidak merosakkan harta benda awam, tidak mengancam nyawa orang ramai dan tidak fitnah maka tidak ada sebab untuk pihak berkuasa bertindak keras.- MalaysiaGazette

















kita tukar agenda perhimpunan turun anwar kepada tangkap mahyudin