Anggota bomba melakukan kerja-kerja memadam kebakaran lima buah rumah di Jalan Francis School, Bukit Siput, Segamat, hari ini.

SEGAMAT – Seorang wanita warga emas rentung dalam kebakaran yang memusnahkan lima rumah dan lima kenderaan di Jalan Francis School, Bukit Siput di sini hari ini.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bandar Baru Segamat, Timbalan Penguasa Bomba II Mohd Aizad Mamat berkata , pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pukul 4.36 pagi.

“Setibanya pihak bomba di tempat kejadian, didapati terdapat kebakaran lima buah rumah iaitu tiga buah rumah jenis separuh kekal 22 x 70 x 15 dengan kemusnahan dianggarkan sebanyak 70 peratus.

“Sebuah rumah separuh kekal 22 x 70 x 15 dengan kemusnahan dianggarkan sebanyak 80 peratus.

“Seterusnya sebuah rumah separuh kekal 22 x 70 x 15 kemusnahan dianggarkan sebanyak 80 peratus.

“Kebakaran juga meragut nyawa seorang wanita warga emas iaitu Tan Ah Gek yang berusia 73 tahun,” katanya dalam satu kenyataan.

Katanya, kebakaran turut mengakibatkan lima buah kenderaan jenis sedan musnah antara 70 hingga 80 peratus.

Menurutnya, seramai 21 anggota dikejarkan ke tempat kejadian dari BBP Bandar Baru Segamat, BBP Segamat dan BBP Labis dibantu lima buah jentera.

Kebakaran dapat dikawal dan operasi tamat pukul 10.29 pagi manakala punca kejadian dan kerugian masih dalam siasatan, katanya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast