JOHOR BAHRU – Angkatan Muda Keadilan (AMK) mengecam tindakan pihak yang menularkan hantaran kontroversi dan palsu dalam Facebook didakwa kenyataan daripada Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Exco AMK Pusat, Jalex Lee En Xiang berkata, perbuatan tidak bertanggungjawab tersebut jelas berniat jahat sekali gus menimbulkan kekeliruan dan fitnah terhadap perdana menteri.
Beliau yang juga Ketua AMK Cabang Tebrau berkata, hantaran tersebut dibuat dalam bahasa Mandarin dipercayai disasarkan kepada kaum Cina.
“Ingin ditegaskan dengan jelas tiada sebarang kenyataan seperti yang didakwa telah disebut oleh PMX dalam ucapan beliau, dalam apa jua bentuk sekalipun.
“Tindakan ini juga bertujuan untuk mengelirukan komuniti Cina serta mencemarkan nama baik PMX,” katanya selepas mengetuai AMK Tebrau membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Utara di sini hari ini.
Ketika ini tular poster memaparkan wajah Anwar dengan tulisan dalam bahasa Mandarin dan dipercayai dikaitkan sebagai pengumuman khas Penghargaan Untuk Rakyat Malaysia yang diumum kelmarin.
Kenyataan dalam bahasa Mandarin itu adalah: “Berita baik, kerajaan menetapkan bahawa lelaki Cina yang tergolong dalam kumpulan M40 ke atas boleh berkahwin dengan empat orang isteri.
“Perdana Menteri Anwar Ibrahim umumkan awal pagi ini berita baik kepada seluruh rakyat.”
Mengulas lanjut, En Xiang berkata, perkara sebenarnya yang diumum Anwar adalah satu pakej fiskal progresif bagi merangsang ekonomi tempatan.
Jelasnya, ini juga termasuk menunaikan janji beliau semasa kempen pilihan raya, terutama pengurangan harga petrol RON 95 daripada RM2.05 kepada RM1.99.
“Kepada mereka yang menyebarkan berita palsu ini, kami menggesa anda untuk berhenti serta-merta.
“Penyebaran maklumat tidak benar hanya akan menimbulkan kemarahan, perpecahan dan salah faham dalam kalangan rakyat, terutamanya komuniti Cina,” ujarnya.
Tambahnya, semua pihak memainkan peranan dalam membina Malaysia yang lebih baik dan terus bersatu padu.
“Saya dengan tegas menyeru @Facebook untuk memadamkan posting yang mengelirukan ini demi keharmonian masyarakat dan kebenaran,” tegasnya.- MalaysiaGazette
















