SEPANG – Seramai 99 warga asing telah ditolak kemasukan ke
Malaysia di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 selepas gagal melepasi saringan keselamatan dalam operasi yang dilaksakan Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) KLIA, di sini, semalam.
Menurut agensi itu, lebih 400 individu diperiksa secara rapi dalam operasi yang menyasarkan penerbangan berisiko tinggi tersebut.
Tambahnya, mereka yang ditolak kemasukan terdiri daripada 80 lelaki warga Bangladesh, India (10) dan Pakistan (sembilan).
“Penolakan dibuat kerana mereka gagal memenuhi syarat imigresen, termasuk mempunyai tujuan lawatan dan rekod perjalanan yang meragukan,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Menurutnya, kesemua 99 individu tersebut telah diuruskan untuk proses dokumentasi lanjut dan dihantar pulang semula ke negara asal mengikut prosedur undang-undang sedia ada.
Tambahnya, operasi intensif itu berlangsung dari jam 9.30 pagi hingga 4.30 petang, diketuai Unit Pemantau KLIA Terminal 1 dengan sokongan Unit Integriti.
Ia melibatkan semakan latar belakang, dokumentasi perjalanan, dan temu bual secara individu, ujarnya.
Menurut kenyataan itu, langkah penguatkuasaan seperti ini akan terus dipertingkatkan secara berkala sebagai strategi proaktif bagi menangani ancaman seperti sindiket penyeludupan manusia (counter-setting) dan penyalahgunaan pas lawatan sosial. – MalaysiaGazette















